KAYA rasa empati dan simpati, anggota kumpulan TXT, Soobin tampil menghulur sumbangan bernilai hampir RM400,000 kepada pihak Hospital Kanak-Kanak Seoul untuk membantu kanak-kanak kurang upaya yang memerlukan.
Perkara tersebut didedahkan pengarah hospital berkenaan yang turut menzahirkan rasa terima kasih atas sikap dermawan idola terbabit.
“Kami tidak akan pernah melupakan jasa dan sumbangan penyanyi, Soobin. Sumbangan yang disalurkan dapat membantu individu dan keluarga yang mempunyai anak kurang bernasib baik.
“Moga lebih ramai lagi selebriti ingin membuat sumbangan membantu mereka yang menghadapi fasa sukar, kami dari pihak hospital mengalu-alukan sepenuhnya sumbangan anda semua,” ujarnya.
Pihak hospital akan menggunakan sekitar RM70,000 daripada sumbangan Soobin untuk menampung perbelanjaan perubatan dan terapi kanak-kanak memerlukan.
Baki daripada sumbangan tersebut akan diperuntukkan untuk meningkatkan persekitaran dan fasiliti rawatan hospital. -HIBGLAM