Orkestra jadi ‘umpan’ konsert Afgan di KLCC

IBARAT rumah kedua, biar berulang kali beraksi di negara ini, peminat di Malaysia umpama tidak pernah jemu menghayati setiap untaian dendangan Afgan.

Bakal menggegarkan Plenary Hall Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 Disember depan, konsert Afgan atau Afgansyah Reza, 34, akan diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

Sudah tentu Afgan Live In Concert With MPO nanti menyajikan nuansa segar dengan ensembel muzik yang memberi suntikan berganda terhadap keindahan melodi dendangannya.

Malah Afgan yang baharu selesai menjayakan konsert Afgan Evolution Live In Jakarta, baru-baru ini turut teruja untuk kembali ke negara ini menghiburkan peminat tegarnya.

Rumah kedua

“Malaysia umpama rumah kedua saya dalam berkarya apabila setiap kali menjayakan konsert di sini. Peminat tidak henti beri sokongan, sekali gus itu satu penghormatan buat saya.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka penganjur sekali lagi memilih saya mengadakan konsert dan lebih istimewa diiringi pula orkestra selepas Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur, Disember tahun lalu.

“Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) adalah sesuatu yang indah kerana buat julung kali saya bekerjasama dengan pemuzik MPO,” katanya.

Kelainan

Selaku penganjur, Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar hati kerana Afgan sekali lagi menerima pelawaan untuk beraksi di Kuala Lumpur.

“Kali ini kita mahu suntik kelainan apabila deretan lagu popular Afgan diiringi pemuzik orkestra berpengalaman yang tentu saja bawa pengalaman indah buat khalayak,” katanya yang bakal mengumumkan nama penyanyi jemputan konsert berkenaan dalam tempoh terdekat.

Harga tiket menyaksikan Afgan Live In Concert With MPO akan dijual pada RM258 hingga RM1,488 menerusi laman Golive-Asia.com bermula 5 Julai ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok