Tersihir goyang dangdut, Konsert Milenia membahang

KETERIKATAN garis panduan dari segi pakaian dan koreografi tarian sedikit pun tidak mengganggu kelancaran Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu.

Barisan penyanyi dangdut tempatan yang berkongsi pentas dengan pejuang genre sama dari Indonesia cukup ampuh memanaskan pentas dengan deretan seleksi berhantu.

Tidak hairan lebih 1,000 penonton yang memenuhi gelanggang Zepp KL bagai disihir apabila masing-masing asyik bergelek mengikut irama dangdut nyanyian penyanyi kesayangan.

Bermula dengan aksi Mas Idayu sehingga persembahan penutup oleh penyanyi seberang, Thomas Arya, peminat bagai tiada lelah bergoyang.

Durasi hampir tiga jam konsert anjuran anjuran Mission Sight Sdn. Bhd, tambah memanas apabila peminat dangdut mula bergelek dalam kumpulan-kumpulan kecil, namun masih berhemah.

GABUNGAN bintang dangdut Malaysia dan Indonesia menggamatkan kehangatan Konsert Milenia 2024  yang dihadiri lebih 1,000 penonton. 

Bahkan semua penghibur yang menghangatkan pentas termasuk dua lagi artis Indonesia iaitu Rheyna Morena dan Hesty Aryatura, serta penyanyi Malaysia iaitu Amelina, Ani Maiyuni serta Baby Shima mampu memancing fokus khalayak dengan aksi bersahaja.

Bagi rata-rata pengunjung yang sama-sama menyaksikan sejarah pertama kali Zepp KL bergetar dengan genre dangdut berharap persembahan muzik serupa dapat diadakan lagi pada masa hadapan.

Pengarah Urusan Mission Sight, Jeffri Yaacob, berkata pihaknya teruja dengan sambutan penonton yang meminta mereka mengadakan lagi konsert seumpama itu pada masa akan datang.

“Konsert ini membuktikan dangdut diterima baik, malah penyanyi dangdut Indonesia juga akur mengikut permintaan pihak kerajaan agar tidak terlalu seksi dan goyang keterlaluan ketika konsert.

“Dalam pada itu, peminat juga meminta kami menganjurkan Konsert Milenia 2.0 disebabkan kejayaan acara malam ini, sekali gus menepis tohmahan segelintir pihak yang memandang rendah genre tersebut.

“Cuma kalau ada 2.0 mungkin perlu rombakan sedikit dari segi pemilihan artis, tapi ini semua kita akan fikir nanti. Paling penting semua seronok dan terhibur,” ulasnya usai konsert berakhir.

MAS Idayu menghangatkan pentas konsert dengan lagu Sengol-sengolan serta Cinta Ku 100%.

Kehangatan Konsert Milenia 2024 bermula apabila Mas Idayu muncul memanaskan pentas dengan Sengol-sengolan serta Cinta Ku 100% tepat pukul 9 malam.

Aura pesta tari semakin berganda sebaik Hesty mengambil alih ruang bersama Klepek Klepek, Cikini Gondangdia dan Rungkad, disusuli penampilan Ani Mayuni dengan Sedap serta Dasar Buaya Cinta.

Momentum konsert disambung Ratu Dangdut, Amelina yang mempertaruhkan Memori Daun Pisang, Rindu dan Yang Indah Yang Hangat.

KEMUNCULAN Amelina membawakan tiga lagu berhantunya membuatkan penonton seakan terkena histeria.

Seperti biasa, penyanyi pelapis dangdut tempatan yang menempa nama di Indonesia, Baby Shima turut meraih sorakan sebaik menyampaikan Pura Pura Bujang diikuti beberapa seleksi lain, termasuk duet bersama Thomas.

Bagi segmen solo, satu-satunya penyanyi dangdut lelaki itu menyampaikan empat dendangan termasuk Bunga, manakala teman senegaranya, Rheyna melagukan Seperti Mati Lampu.

Terdahulu, Konsert Milenia tertangguh sebanyak tiga kali apabila berdepan isu ditipu ejen, kelulusan permit selain berdepan faktor luar jangka yang tidak dapat dielakkan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok