Fizo doakan Mawar bahagia, andai benar dah kahwin

PELAKON Fizo Omar mendoakan yang baik-baik buat bekas isteri, Mawar Karim andai benar wanita itu sudah berumah tangga seperti didakwa segelintir pihak.

Ujar pemilik nama penuh Wan Hafizol Wan Omar, dia enggan memandai-mandai mengesahkan perkara yang di luar pengetahuannya memandangkan dirinya hanya bekas suami dan berpendapat lebih baik berita itu disahkan sendiri oleh Mawar.

Saya memang ada dengar khabar angin dia sudah mendirikan rumah tangga. Khabar angin itu datang dari pelbagai individu.

“Bagaimanapun tentang kepastian berita itu perlu bertanyakan sendiri dengan tuan punya badan. Saya dan dia berhubung hanya mengenai anak sahaja.

“Selebihnya saya tidak berani nak bercakap lebih. Tidak sesuai untuk saya bercakap tentang hal itu kerana hanya bekas suami,” katanya kepada HibGlam.

Begitupun, tidak kira khabar angin itu benar mahupun tidak, aktor berusia 38 tahun itu tetap mendoakan kebahagian bekas isteri bersama pasangan pilihan hatinya itu.

Sekiranya betul dia sudah berkahwin, saya tumpang gembira dan bagus untuk dia. Itu akan jadi kelebihan kepada anak kami, Maryam sebab ada dua bapa dan dua ibu.

“Saya juga mendoakan dia bahagia dan gembira dengan pasangannya jika benar-benar sudah berkahwin.

“Bagi saya manusia ini diciptakan memang untuk berpasangan baik lelaki mahupun perempuan,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Nasi Lemak Kopi O, disini, hari ini.

Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan usahawan Mawar Karim sudah menamatkan zaman janda dengan orang kenamaan.

Sementara itu, Fizo tidak menafikan dirinya pernah mengucapkan tahniah kepada Mawar di atas perkahwinannya menerusi sepotong video yang tular sebelum ini.

Sekadar info, Fizo dan Mawar berkahwin pada November 2013, namun bercerai pada Julai 2019.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia enam tahun.

Fizo kemudian mendirikan rumah tangga dengan Fazeera Nazri Azrai pada 21 Oktober 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata. — KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok