Saluran pernafasan Noki K-Clique ‘ketat’

PENYANYI  Noki yang juga ahli kumpulan K-Clique terpaksa ke sebuah klinik bagi mendapatkan rawatan kecemasan selepas mengalami sesak nafas.

Menurut Noki atau nama penuhnya Ahmad Ikhwan Aji, 29, doktor mengesahkan dia mempunyai masalah pada saluran pernafasan selepas mendapat keputusan pemeriksaan.

Saya terus ke klinik sebab susah nak bernafas. Sekarang masih menerima rawatan.

“Doktor beritahu bunyi penafasan saya juga ketat dan seperti tersumbat, saya pula memang ada penyakit lelah,” katanya.

Sementara itu, dia memberitahu masalah sukar bernafas dialami sudah berlarutan sejak beberapa minggu lalu namun terpaksa menangguh niat untuk mendapatkan rawatan kerana jadual kerja yang padat seperti terikat dengan program The Masked Singer Malaysia musim keempat (TMSM4).

Dalam masa sama, dia juga berharap tahap kesihatannya bertambah baik memandangkan bakal berangkat ke Tanah Suci esok untuk menunaikan ibadah umrah.

“Sebenarnya sejak menyertai program TMS4, saya sudah sering sesak nafas tetapi tidak mengambil sebarang rawatan.

“Semoga kesihatan saya okey sepanjang berada di sana nanti. Kita nak pergi ke tempat suci, jadi hanya berdoa kepada Allah SWT agar segala dipermudahkan.

“Pastinya saya juga akan berdoa agar dipertemukan dengan jodoh dan istiqamah menjadi lelaki lebih baik. Semua itu kesempatan yang akan saya lakukan di sana,” jelasnya.

Semalam, Noki mengundang perhatian ramai selepas memuat naik gambar dalam Instagramnya memaparkan sedang menerima rawatan dengan memakai nebulizer di sebuah klinik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok