“Noh mungkir janji, dia sudah hilang hak sebagai penjaga musa.”
Itu kata aktivis kemanusiaan Mizz Nina yang mendedahkan bekas suaminya, Noh Salleh sudah hilang hak penjagaan anak angkatnya, Musa selepas mereka bercerai sekitar Ogos 2022.
Menurut pemilik nama penuh Shazrina Azman yang sekadar menyebut ‘ex’ merujuk kepada bekas suaminya, vokalis kumpulan Hujan itu dengan rela hati menandatangani dokumen undang-undang yang memberi hak penuh kepada dirinya sebagai penjaga Musa.
“Selepas bercerai, dia (Noh) dengan rela hati menandatangani dokumen undang-undang memberi saya hak sepenuhnya untuk menjaga Musa dihadapan pesuruhjaya sumpah.
“Secara undang-undang, selepas sahaja kami bercerai, dia sudah hilang hak sebagai penjaga Musa.
“Sekarang, Noh sudah mungkir janji malah memaklumkan tidak tahu mengenai perkara ini sedangkan saya tahu sebenarnya dia tahu,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Pelantun lagu Around The World itu turut menzahirkan rasa kesal apabila privasi dan keselamatan Musa terganggu berikutan tindakan Noh mendedahkan wajah anak susuannya itu selain berkongsi nama penuh ibu kandung si kecil itu tanpa kebenaran.
“Privasi Musa telah terjejas dan hidupnya tidak akan sama.
Bukan itu sahaja, Noh mendedahkan nama ibu kandung Musa dalam kenyataan permohonan maaf yang dibuat sebelum ini dan itu satu tindakan tidak sensitif.
“Ibu kandung Musa mohon identitinya dirahsiakan namun Noh dengan mudahnya mendedahkan privasinya yang sebelum itu turut berkongsi wajah Musa dalam media sosial,” ujar Mizz Nina.
Sebagai penutup penjelasannya, wanita berusia 44 tahun itu memaklumkan dirinya terpaksa bercerita tentang perkara tersebut supaya tidak ada spekulasi atau fitnah mengenai isu hak penjagaan Musa selepas ini.
“Saya terpaksa bersuara bercerita kisah sebenar supaya tidak ada spekulasi atau fitnah tentang perkara ini.
“Ini bukanlah hanya satu sisi cerita daripada saya tetapi inilah kebenarannya dan semoga Allah terus membawa kebenaran kepada kita semua,” ujarnya menutup bicara.
Sebelum ini, ibu kandung Musa menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Noh susulan didakwa melanggar perjanjian bagi merahsiakan wajah Musa.
Noh kemudiannya memuat naik video permohonan maaf dan menjelaskan dia sama sekali tidak mengetahui sebarang perjanjian antara wanita itu dengan bekas isteri, Mizz Nina.
Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh mendirikan rumah tangga dengan Nina pada Julai 2011 namun mengumumkan perceraian pada 4 Ogos 2022 lalu. – KOSMO! ONLINE.