PENYANYI juga komposer Amylea yang baru saja mengumumkan pernikahannya dengan seorang anggota bomba warga Singapura, iaitu Mohammad Aqbar Mohamad atau Ash, 40, mendedahkan kehadiran suami menjadi penyuntik semangat untuknya terus berjuang sebagai anak seni.
Biar berbeza gelanggang karier, Ash sangat memahami, malah tidak berhenti memberi sokongan buat Amylea.
“Semasa awal perkenalan dia langsung tidak tahu saya seorang penyanyi.
“Sekarang apabila dia masuk ke dunia saya, begitu banyak perkara yang menarik perhatiannya.
“Dia jadi teruja dengan semua suasana di sekeliling saya dan keterujaannya secara tidak langsung membuatkan saya kembali bersemangat walaupun sebelum ini saya pernah berputus asa kerana semua yang saya lakukan tidak menjadi,” desis Amylea.
Menyorot perjalanan seni, sudah dua dekad Amylea Azizan berdepan sepak terajang dunia muzik, sejak menyertai program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).
Dalam tempoh tidak sedikit tersebut, cukup segala asam garam dunia hiburan dihadami sepenuh rasa.
Sedang dilihat sebagai penyanyi dan komposer berbakat, wanita berusia 37 tahun itu bagaimanapun mengakui pernah terhimpit kegagalan dan patah semangat untuk meneruskan perjuangan dalam bidang yang amat dicintainya.
Apa yang dilalui digagahi biarpun lelah sehinggalah karya gubahannya Selagi Ku Ada n nyanyian duet Khai Bahar dan Nabila Razali terpilih untuk berentap di pentas kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada 3 Mac tahun depan mengubah banyak hal.
“Sejujurnya, sudah lama saya tidak mengharapkan apa-apa. Saya percaya jika Allah belum beri rezeki ada sebabnya. Tetapi tipulah jika saya tidak rasa kecewa apabila bertanding dan kecundang.
“Sejak dua tahun kebelakangan ini hati saya kosong dan tidak mengharap apa-apa. Cuma saya kasihankan Khai dan Nabila, jika lagu tidak lepas ke final seolah-olah saya kecewakan mereka.
“Tidak sangka lagu Selagi Ku Ada dapat mara ke AJL. Melihat sokongan dan komen positif peminat, saya jadi terharu.
Dalam hati terdetik, masih ada orang yang mengambil berat dan gembira dengan kejayaan saya,” luah Amylea berserah.
Sebelum ini, Amylea sendiri pernah layak ke pentas final AJL33 (2019) menerusi lagu Tak Pernah Hilang dendangannya bersama Kaer Azami.
Dia juga mula bersaing dalam Semi Final Muzik Muzik (SFMM) pada 2007 dengan lagu Aku Sindarela dan terus menghantar pencalonan hampir saban tahun sebelum berhenti mencalonkan lagu pada 2012 sehingga 2017.
Mengenangkan banyak juga pencapaian peribadi, Amylea masih terasa begitu kerdil untuk bersaing dalam SFMM dan AJL.
Berasa terpuruk dan tiada lagi pengharapan, dua buah single yang dikeluarkan tahun ini, Miris dan Paripurna tidak dihantar untuk pencalonan.
“Memang sudah agak lama saya tidak menghantar lagu nyanyian sendiri kerana rasa tiada yang peduli sama ada saya hantar lagu atau tidak.
“Apa yang dikerjakan langsung tidak memberi kesan,” ujar Amylea dalam nada sedikit kecewa.
Sokongan
Fikirannya bagaimanapun berubah melihat sokongan positif peminat terhadap pencalonan terbaharunya ke AJL.
Semua itu mendorong Amylea kembali bersemangat dan berazam untuk membikin kemunculan semula pada 2024.
“Jika tiada aral, tahun ini saya akan kembali mencalonkan lagu dalam Muzik Muzik. Tahun 2024 terdapat dua buah lagu ciptaan saya, nyanyian Ernie Zakri dan sebuah lagi oleh seorang penyanyi lelaki selain sebuah lagu nyanyian sendiri,” kata Amylea.
Berkongsi tentang kehidupan berumah tangga, jelas terpancar kebahagiaan di wajahnya. Sudah bergelar suami isteri, Amylea dan suami bagaimanapun terpaksa menjalani hubungan jarak jauh kerana kekangan kerja.
“Bukan saya sahaja, ramai lagi pasangan yang berkahwin berhubung jarak jauh.
“Seperti kami, boleh berjumpa dengan naik satu penerbangan sahaja dan Singapura tidaklah jauh mana. Jika suami ada cuti, dia akan datang ke Kuala Lumpur,” kata Amylea. – HIBGLAM