Dahulu anak-anak tak faham saya artis – Zaina Zain

MELIHAT anak-anak tumbuh membesar dan sihat depan mata membuatkan penyanyi bergelar ibu tunggal itu semakin mensyukuri nikmat kurniaan Allah.

Paling membuatkan insan seni bernama Ziana Zain itu berdamai dengan segala tentangan kehidupan apabila anak-anaknya mula faham peranan dan tanggungjawab si ibu membesarkan mereka dengan kudrat tubuh empat kerat yang masih bersisa siang dan malam.

Rasa sebak menerjang ke jiwa pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain saat percaya keempat-empat anaknya memiliki rasa kasih yang kuat terhadapnya.

Paling mendamaikan, anak-anak mula faham situasi kehidupan selepas empat tahun, ibu bapa berdepan episod perceraian.

Pengertian anak-anak

Berkongsi cerita amanah yang terpikul di bahu, Muhammad Aiman, Muhammad Ammar dan pasangan kembar, Muhammad Ariel serta Siti Nur Kaseh, ingatan Ziana terimbas bagaimana dia selalu dimarahi anak sendiri, setiap kali ada peminat bergambar dengannya.

“Anak-anak semuanya sudah besar. Bila difikirkan semula, saya jadi sebak sebab teringat semasa mereka kecil dahulu.

“Kalau peminat mahu bergambar dengan saya, mereka mesti akan marah. Sebab tidak faham saya adalah artis (penyanyi).

“Tapi bila mereka semakin dewasa, anak-anak sudah faham kerja saya. Mereka tahu pekerjaan saya sebenarnya memenatkan. Mereka tahu saya bekerja keras untuk mereka,” ujar penyanyi berusia 55 tahun itu.

Memikirkan kepayahan si ibu mengerah tenaga di pentas nyanyian, anak-anak kini lebih menghargai pengorbanannya dan faham untuk tidak berlebih-lebihan.

“Bila saya kata (kepada anak-anak), bukan senang nak cari duit dan pikul tanggungjawab yang besar (sebagai ibu tunggal), barulah anak-anak lebih menghargai dan faham peranan saya sebagai ibu.

“Bila saya tanya nak makan apa, mereka sudah tahu bezakan yang mana murah dan yang mana mahal. Sebab tahu saya kini membesarkan mereka seorang diri, terutama anak perempuan saya, Kasih,” katanya.

Sama seperti ibu-ibu lain, pelantun Madah Berhelah itu juga mempunyai cara sendiri untuk mendidik anak-anak.

Dia tetap mencuri masa meluangkan waktu bersama mereka, walaupun sedang kepenatan.

Kata kakak kepada penyanyi, Anuar Zain itu, dia akan berbual dengan anak-anak dan mendengar apa sahaja yang mahu diluahkan mereka.

“Apa yang saya terapkan pada anak-anak adalah, selalu berbual dengan mereka. Curi juga masa. Bila anak-anak mahu luahkan sesuatu, terutama yang sulung, saya akan dengar juga walaupun sedang mengantuk.

“Lagi satu, saya terapkan kasih sayang antara keluarga, terutama dengan adik-beradik.

“Saya jadikan diri sendiri sebagai contoh bagaimana hubungan saya dengan adik-beradik yang lain. Sikit sama sikit, banyak sama banyak,” kongsi Ziana.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok