‘Konsert bukan untuk bersaing’ – Siti Nurhaliza

SEBUT sahaja penyanyi nombor satu negara, tentu sahaja nama serta wajah Datuk Seri Siti Nurhaliza terus tergambar di fikiran ramai.

Bukan sahaja bersuara ‘buluh perindu’, malah keperibadian yang sentiasa membumi meskipun kariernya utuh melangit membuatkan dirinya terus dipuji dan diteladani ramai dalam radar industri seni tanah air.

Namun, hakikatnya penghibur paling popular juga tidak kebal dengan wabak penyakit yang merebak, pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin itu sekali lagi tewas ditawan Covid-19.

Bimbang peti suara

Meskipun sudah tamat kuarantin dan beransur sembuh seperti sedia kala, pelantun lagu Sehebat Matahari itu tetap resah andai jangkitan itu mengganggu peti suaranya seperti sebelum ini.

DIJANGKITI Covid-19 buat kali kedua, Siti bersyukur proses sembuh lebih cepat namun
khuatir virus tersebut bakal mengganggu peti suaranya seperti sebelum ini.

Kata Siti, disahkan positif kali kedua benar-benar mencabar selain lebih menyakitkan berbanding kali pertama diserang virus itu tahun lalu.

“Bohonglah kalau saya kata tak risau, sebab suara saya adalah aset, tambahan pula turut mengalami gejala batuk berkahak yang sangat mengganggu.

“Berbeza dengan jangkitan Covid-19 kali pertama dulu tiada demam atau sakit badan, namun kali ini saya alami sengal otot yang teruk selain demam.

“Harap-harap, apa yang berlaku tak mengganggu peti suara saya menjelang konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza,” ujarnya risau.

Ditanya mengenai kondisi terkini vokalnya, ibu kepada dua anak itu menzahirkan rasa syukur kerana suaranya sudah kembali ringan seperti dahulu ketika menyanyikan lagu lamanya.

“Syukur sangat sebab dah makin baik. Maknanya, bila saya nyanyikan lagu-lagu lama, bunyi suara saya ada rasa ‘ringan’ sedikit.

“Kalau tak, rasa ‘berat’, kasar dan nafas tak cukup. Jadi, ini proses yang sangat lama dan hampir setahun juga untuk saya kembali dapatkan suara ‘ringan’ seperti ini.

“Tiba-tiba, saya dijangkiti Covid-19 semula. Alhamdulillah, saya dah habis kuarantin dan harap tak ada apa-apa. Cuma tinggal batuk sahaja,” katanya.

BAKAL anjurkan konsert di Axiata Arena dan bukannya Stadium Nasional Bukit Jalil, Siti
menegaskan dirinya tidak memasang niat untuk melawan mahupun menyaingi
mana-mana jumlah penonton konsert penyanyi lain sebelum ini.

Enggan berlama-lama dalam topik virus jahat selain berharap semuanya kembali reda, pemenang anugerah Bintang Popular sebanyak tujuh kali itu berkongsi lanjut mengenai konsertnya yang bakal berlangsung pada 9 Mac 2024 di Axiata Arena.

Bukan bersaing

Belum sempat menghabiskan soalan, Siti memberitahu dia sedia maklum ada pihak menyangka konsertnya itu bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil kononnya untuk menebus rekodnya yang dibenam band terkenal, Coldplay sebelum ini.

“Soal lokasi konsert ini memang sudah ditentukan sejak awal perancangan lagi iaitu beberapa bulan lalu. Justeru, tiada kaitan dengan dakwaan mahu menyaingi mana-mana persembahan mega lain yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

“Pemilihan Axiata Arena adalah muktamad,” ujarnya tegas.

Benar bagai dicanang populariti anak jati Temerloh, Pahang itu tidak pernah memudar. Ketika artikel dinukilkan, dia sudahpun mencipta rekod tersendiri apabila tiket konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza habis terjual dalam tempoh dua jam.

Difahamkan sebaik kaunter maya untuk konsert terbabit dibuka, pembeli berpusu-pusu membuat tempahan sehingga ada yang mengeluh tidak dapat masuk ke laman web terbabit.

Ujar isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu, pihaknya meminta maaf kepada semua yang tidak mendapat tempat pada persembahan mega solo di Axiata Arena itu nanti.

TIKET konsert licin terjual dalam tempoh dua jam, Siti memohon maaf kepada peminat
yang sanggup menghabiskan masa berebut tiket namun terpaksa berputih mata.

“Alhamdulillah. Terima kasih dari lubuk hati terdalam. Maafkan saya kepada yang tak dapat membeli tiket. 

“Saya memahami ada yang terus mencuba dan tidak sempat mendapatkannya.

“Ada rezeki di persembahan yang lain nanti. Doakan saya,” tuturnya seolah-olah cuba memujuk hati peminat yang dirundung kecewa.

Pada masa sama, meskipun kalut dengan perancangan untuk konsert meganya, Siti tidak pernah lupa menyumbang semula kepada masyarakat terutama mereka yang memerlukan.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok