IDOLA? Saya minat Che Puan Sarimah Ibrahim.”
Demikian pengakuan pengacara dan pelakon Uyaina Arshad tatkala ditanya siapakan idolanya dalam dunia pengacaraan.
Menurut Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, Sarimah pengacara yang versatil dan mampu mengendalikan pelbagai jenis program termasuk hiburan mahupun hal ehwal semasa.
Dia hebat, mampu menjadi hos untuk pelbagai program.
“Cara dia mengacarakan sesuatu acara juga sangat menyeronokkan dan tidak bosan ditonton,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tambah Uyaina yang turut berkecimpung dalam dunia lakonan, dia memasang impian untuk bergandingan dengan Sarimah dalam mana-mana program televisyen kelak.
Siapa yang tak mahu bergandingan dengan nama besar sepertinya, saya pun ada impian tersebut.
“Harap satu hari nanti diberikan peluang tersebut dan dapat menimba banyak ilmu mengenai dunia pengacaraan daripadanya,” katanya lagi.
Selain itu, Uyaina turut pasang impian menjadi pengacara bagi acara berprestij seperti Anugerah Juara Lagu.
“Mungkin rezeki saya belum sampai ke arah itu tetapi kalau diberi peluang memang tidak akan lepaskan.
Sebagai pengacara, pastinya ada cita-cita untuk mengendalikan program-program hebat. Sebenarnya impian sebegitu lebih kepada kepuasan diri.
“Saya masih lagi belajar banyak benda tetapi jika dapat, Alhamdulillah,” ujarnya.