Serang bekas kekasih, Marvel singkir Jonathan Majors

MARVEL bertindak memecat Jonathan Majors, 34, daripada terus melakonkan watak adiwira, Kang the Conqueror apabila aktor itu terbukti bersalah menyerang dan mengganggu bekas kekasih iaitu Grace Jabbari.

Menerusi kenyataan media, Majors bakal berdepan hukuman penjara atas kesalahannya dalam kes tersebut.

Lelaki tinggi lampai itu mula diperkenalkan Marvel menerusi menerusi filem Ant-Man and The Wasp: Quantumania awal tahun ini selain dijadualkan muncul dalam sekurang-kurangnya dua lagi filem Avengers.

Bagaimanapun, sebaik terbabit dalam kes sedemikian, studio terkemuka itu mengambil keputusan untuk tidak meneruskan khidmat Majors.

Pada awal Mac lalu, polis berkata mereka menerima panggilan kecemasan di Manhattan dan hasil siasatan awal mendapati berlaku pertikaian domestik antara Majors dan Jabbari.

Difahamkan pergelutan bermula apabila Jabbari bertindak mengambil telefon bimbit Majors yang didakwa telah menerima sebuah kiriman mesej daripada wanita lain.

“Jonathan Majors didapati bersalah oleh Mahkamah Jenayah Manhattan dengan kesalahan menyerang tahap ketiga dan gangguan tahap kedua,” kata pihak pendakwa raya.

Aktor itu dilaporkan bakal dijatuhkan hukuman pada 6 Februari tahun depan.

Selain bersama Marvel, pelakon terbabit pernah membintangi beberapa filem besar lain termasuk Creed lll, Lovecraft Country, dan Magazine Dreams. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok