KETIADAAN nama Ernie Zakri sebagai penyanyi asal lagu Astana pada pengumuman 30 lagu yang layak ke Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38) mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat industri muzik tanah air.
Syarikat rakaman Universal Music Malaysia berkata, artis mereka itu menyedari pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) kini sedang berunding dengan Media Prima Berhad (MPB) berhubung terma dan syarat pencalonan lagu dalam Muzik-Muzik.
Ernie memberitahu dia sentiasa mematuhi prosedur label antarabangsa Universal Music Malaysia serta menghormati pendirian kedua-dua persatuan iaitu RIM dan MPA yang mewakili syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa serta pemegang hak rakaman bunyi/video dan karya di Malaysia.
“Selain itu, Ernie juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pencalonan dan penyertaan lagu Astana sepertimana yang tertulis dalam beberapa laporan media,” kata satu kenyataan.
Sementara itu, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri menafikan dakwaan segelintir pihak dia sengaja tidak menyanyikan lagu Astana.
Saya adalah penyanyi asal dan komposer lagu ini jadi, sudah tentu saya nak menyanyikan Astana selain tidak pernah cakap enggan nyanyi atau tarik diri.
“Namun, disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak RIM dan MPB, perkara itu menjadi penghalang untuk saya mempersembahkan lagu ini pada SFMM38,” jelasnya.
Terdahulu, RIM dan MPB dalam satu kenyataan memaklumkan masih dalam rundingan dengan Media Prima mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam program Muzik Muzik yang disiarkan menerusi TV3.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, sesi dialog sudah dibuat membabitkan semua pihak sejak Ogos lalu namun tidak dapat mencapai kata putus yang memuaskan.
“Banyak ahli kami yang terdiri dari syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa enggan mencalonkan rakaman lagu artis mereka dalam program Muzik Muzik tahun ini kerana tidak bersetuju dengan klausa tertentu dalam borang pencalonan lagu program itu.
“Kami sudah mengadakan sesi dialog bersama pihak pengurusan tertinggi Media Prima mengenai perkara ini pada awal Ogos lalu dan sudah mengetengahkan klausa bermasalah dalam borang pencalonan tersebut buat perhatian mereka.
“Namun, sehingga kini, kami masih belum dapat jalan penyelesaian yang memuaskan dan berharap dapat mencapainya dengan segera untuk klausa dan isu berkenaan,” katanya lagi.
Terdahulu, Ernie yang merupakan penyanyi asal serta penulis lagu Astana bersama dengan Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman tercalon ke SFMM38 tahun ini seperti yang diumumkan pada majlis sidang media baru-baru ini.
Bagaimanapun, kemunculan Ernie digantikan dengan penyanyi, Nadeera.
Diasak bertalu-talu oleh peminat, bekas syarikat rakaman yang pernah dinaungi Ernie sebelum ini iaitu Rocketfuel Entertainment berkata penyanyi asal yang memutuskan untuk tidak menyanyikan lagu tersebut di SFMM38.
“Rocketfuele menghormati keputusan penyanyi asal untuk tidak menyanyikan lagu ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Ernie juga pernah berdepan situasi sama apabila lagu asalnya iaitu Berakhirlah Pencarianku gandingan duet bersama Hafiz Suip digantikan dengan Wani Kayrie pada SFMM37. – HIBGLAM