SELEBRITI K-Pop sering menjadi sorotan berikutan sikap dermawan serta murah hati yang ditunjukkan mereka sebagai tanggungjawab sosial buat golongan memerlukan.
Bukan sahaja kepada komuniti, mereka juga sangat menjaga kebajikan terhadap hal-hal lain termasuk alam sekitar dan haiwan terbiar.
Sikap tersebut secara tidak langsung dapat memberikan contoh baik kepada peminat supaya dapat menjadi ikutan.
Kali ini, Daebak menyenaraikan beberapa bintang ternama yang tidak lokek menyumbang demi kesejahteraan masyarakat.
BTS
Kumpulan BTS bukan sahaja terkenal dengan bakat luar biasa bahkan mempunyai empati tinggi apabila berada dalam senarai penyumbang terbesar industri K-pop.
Sepanjang tahun 2023, dianggarkan jumlah wang yang disumbangkan BTS adalah berjumlah RM39 juta (11 bilion won).
Mereka berjasa kepada UNICEF, projek Korean Culture Heritage Preservation dan Hospital Kanak-Kanak Seoul National University.
BTS juga tidak ketinggalan memberi sumbangan demi pembangunan tempatan, golongan memerlukan dan kempen US Black Lives Matter.
IU
Sebelum ini carta diduduki kumpulan selebriti K-Pop, tetapi IU memecahkan rekod apabila menjadi penyumbang individu terbesar.
Sepanjang bergelar artis, penyanyi dan pelakon itu membuat sumbangan sebanyak RM17 juta (4.8 bilion won).
Dia menduduki tempat kedua sebagai artis yang banyak menyumbangkan derma sejak 2010.
Ini sekali gus menunjukkan IU merupakan penggiat seni yang prihatin terhadap golongan memerlukan.
Twice
Kumpulan Twice menduduki tempat ketiga yang menjadi penyumbang terbesar kepada masyarakat iaitu sebanyak RM1.4 juta (400 juta won).
Kemurahan hati Twice jelas dilihat apabila kerap membuat sumbangan ketika dunia menghadapi pelbagai krisis.
Mereka meringankan beban mangsa gempa bumi di Turkiye dan turut membantu pemulihan pandemik Covid-19.
Malah, mereka turut menjaga kebajikan haiwan dengan menyumbangkan sebanyak RM71,000 (20 juta won) bagi membantu kebajikan anjing terbiar.
EXO
Sumbangan keseluruhan sebanyak RM854,000 (240 juta won) menjadikan kumpulan EXO penyumbang derma keempat terbesar dalam kalangan artis K-pop.
Mereka banyak menghulurkan bantuan kewangan kepada kanak-kanak khususnya yang mempunyai masalah pendengaran, sokongan pemulihan Covid-19 serta anak muda yang memerlukan bantuan pendidikan.
Sewaktu wabak Covid-19, ahlinya Lay menyumbangkan sebanyak RM71,000 (20 juta won).
Itu bukan kali pertama Lay membantu negaranya melawan virus jahat tersebut kerana dia juga pernah menderma 60,000 pelitup muka kepada tiga hospital di Wuhan, China.
Dia juga menghantar lapan trak bekalan perubatan selain 24,000 pelitup muka di Balai Polis Hunan, China.
Blackpink
Kumpulan cukup terkenal di peringkat global, Blackpink menjadi antara penyumbang derma terbesar iaitua sebanyak RM534,000 (150 juta won).
Selain menyalurkan derma mereka juga membatalkan kemunculan semula bagi menghormati mangsa kebakaran sekitar empat tahun lalu.
Pada 2019, kumpulan wanita itu menyumbangkan sebanyak RM142,000 (40 juta won) untuk membantu mangsa kebakaran di daerah Gangwon.
Jisoo secara peribadi turut menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan hasil keuntungan saluran YouTube miliknya sebanyak 30 peratus. – HIBGLAM