PAGI ini berangkat ke Tanah Suci. Terima kasih Perwira Holidays. Doakan kami”.
Demikian perkongsian pelakon Ardini Angeline Tan yang dijemput sebagai tetamu Allah mengerjakan umrah buat pertama kali.
Ditemani suami tercinta, Sabri Yunus, aktres yang memeluk Islam sekitar tiga bulan lalu itu meluahkan rasa syukur menerima pakej tersebut sebagai hadiah perkahwinan.
Kegembiraannya dizahirkan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
sebelum berlepas ke Jeddah menaiki penerbangan pukul 7 pagi tadi.
Menerusi perkongsian dalam Instagram itu, Angeline, 56, yang juga ibu kepada dua anak itu dilihat manis menggayakan jubah gelap diacu tudung labuh.
Dalam ruangan komen ramai mendoakan agar Angeline dan Sabri mendapat umrah yang mabrur.
Semoga mendapat umrah yang mabrur dan banyakkan berdoa dipermudahkan segala urusan dalam beribadah,” tulis netizen.
“Selamat pergi dan kembali serta mendapat umrah yang mabrur. Alhamdulillah,” kata pemilik akaun lain.
Terdahulu, Angeline memeluk Islam pada 26 September lalu dan selamat bernikah dengan Sabri, 65, di Perlis pada 14 Oktober lalu.
Pernikahan pasangan yang bergandingan sejak era sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu mendapat perhatian ramai. – HIBGLAM