Imam Tanpa Makmum, angkat sisi berbeza perkahwinan

JALAN cerita yang ringkas, tidak berbelok-belok dan mudah difahami menjadi kekuatan filem komedi romantik dari  Indonesia berjudul Imam Tanpa Makmum.

Penonton tidak perlu memeningkan kepala untuk berfikir terlalu banyak isu mengenai filem berkisarkan kes ‘kahwin muda’ kerana pengisian yang dibawakan karya arahan Syakir Daulay mudah difahami.

Tidak seperti kebanyakan karya seberang yang mengangkat jalan cerita ‘mendalam’, sehingga membuatkan penonton perlu memerah otak yang akhirnya meninggalkan rasa bosan, Imam Tanpa Makmum terbitan Syakir Pictures dengan kerjasama Onprima Studio mengangkat tema anak belia yang terpaksa menurut kemahuan orang tua agar berkahwin pada usia muda.

Watak utama Imam Tanpa Makmum dibawakan pengarahnya sendiri, Syakir yang memegang peranan sebagai Imam.

Jalan cerita bermula apabila pemuda itu telah dipaksa ibunya untuk mencari calon isteri, walaupun baru sahaja menamatkan alam kuliah.

SYAKIR DAULAY bersama Rayisa Nayla Salwa yang memegang watak sebagai Zahra.

Enggan beristeri kerana berasakan masih muda, Imam terpaksa menuruti kemahuan ibunya, lakonan aktres senior, Cut Mini Theo.

Sebagai seorang anak yang patuh kemahuan ibu, Imam dibelenggu serba salah untuk berumah tangga, lebih-lebih lagi selepas melihat kehidupan rakan sebayanya yang melalui pelbagai konflik selepas berkahwin dan mempunyai anak.

Dalam sibuk mencari calon isteri, Imam kemudiannya terpaksa berpakat dengan rakan baiknya iaitu Zahra, lakonan Rayisa Nayla Salwa untuk menjadi kekasihnya buat sementara waktu.

Bagaimanapun, dalam diam rupa-rupanya Zahra sudah lama menaruh hati terhadap Imam. Sebagai ‘penambah rasa’, Imam kemudiannya jatuh cinta dengan seorang gadis jalanan bernama Naira (Vonny Feliciaa).

Sebenarnya, apabila memasuki tahap tersebut, penonton sebenarnya sudah boleh mengagak apa yang bakal berlaku, lebih-lebih lagi apabila filem yang menelan belanja sebanyak RM1.4 juta itu menampilkan dua watak wanita memeran watak utama.

PENGARAH dan pelakon utama Imam Tanpa Makmum, Syakir Daulay (kanan) yang memegang watak sebagai Imam bersama Vonny Felicia sebagai Naira.

Naira yang pandai bermain biola, berjaya menambat hati Imam. Namun, konflik timbul apabila hubungan mereka tidak mendapat restu ibu Imam selepas mengetahui Naira bekerja di kelab malam sebagai pemain biola.

Ketika itu, si ibu sudah pun menyukai Zahra yang dilihat lebih muslimah dan sopan.

Filem yang awalnya dihujani dengan adegan lucu, akhirnya membawa rasa hiba dan air mata apabila sesuatu yang tidak disangka menimpa Naira.

Bagi Syakir sendiri, Imam Tanpa Makmum yang juga buah tangan sulungnya menjadi penentu bagi karya-karyanya pada masa akan datang.

Pemuda berusia 21 tahun itu mengakui memikul banyak tanggungjawab dan cabaran untuk merealisasikan impiannya sebagai pelakon dan sutradara.

Imam Tanpa Makmum merupakan karya pertama arahan Syakir.

Mulanya, keluarga sendiri menjadi penentang utama cita-citanya. Mereka tidak yakin, apakah anak muda seperti Syakir mampu membawa pulangan keuntungan menerusi perfileman.

IMAM TANPA MAKMUM turut mengetengahkan budaya masyarakat Melayu yang dipaparkan ketika majlis perkahwinan.

Menyentuh tentang tema kahwin muda yang diangkat dalam naskhah sulungnya, Syakir berkata filem yang telah ditayangkan di Indonesia sejak November lalu itu akan membuatkan penonton melihat alam perkahwinan dengan pandangan berbeza.

Biarpun ada beberapa babak yang dianggap meleret-leret dan tidak perlu pun untuk dipaparkan, namun pujian harus diberikan kepada Syakir dalam usahanya mempromosikan budaya tradisi bukan sahaja Indonesia, bahkan juga Malaysia menerusi irama muzik joget Serampang Laut dan zapin.

Sebagai benih hendak bertunas sebagai sutradara, Syakir wajar diberi pujian dan peluang untuk dia belajar meneroka dunia baharu supaya dapat menghasilkan karya-karya yang lebih megah pada masa akan datang.

Tidak mustahil suatu hari nanti, namanya pasti akan tercatat sebagai salah seorang pengarah tersohor di alam nusantara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok