Demi kawan RM1,000 pun saya terima – Mamat

MESKI terkenal, Mamat bersedia menerima undangan menyanyi walaupun di majlis perkahwinan kerana baginya tiada apa yang perlu dimalukan.

Penyanyi itu berkata, dia tidak berkira menghiburkan peminat selain tidak sampai hati menolak permintaan apatah lagi jika pelawaan itu disuarakan kenalannya.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin ketika ditemui berkata, dia bersyukur masih lagi menerima undangan menjayakan persembahan walaupun tidak sebanyak dahulu.

“Saya mudah saja, soal bayaran semua boleh bincang tapi biarlah berpatutan.

“Sebenarnya saya susah tolak tawaran nyanyian kerana kebanyakannya daripada kawan-kawan yang saya kenal dan faham mereka pun ada bajet tertentu.

“Apa pun selalunya saya penuhi sahaja undang menyanyi di majlis perkahwinan termasuk di dewan sebab enggan berkira memandangkan semua itu rezeki,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Konsert Exists X Orkestra, semalam.

Penyanyi berusia 45 tahun itu turut menzahirkan rasa syukur apabila tawaran menjayakan persembahan di sekitar Johor dan Kuala Lumpur sentiasa ada setiap bulan sekali gus membolehkannya meneruskan kelangsungan hidup.

“Kadang-kadang sebulan ada dapat tiga, empat persembahan malah satu persembahan pun pernah tetapi saya okey sahaja sebab sedar beginilah realiti hidup sebagai penyanyi.

“Jadi, untuk teruskan hidup saya enggan memilih dan sedia menerima tawaran menyanyi di acara kecil yang bayarannya sekitar RM1,000 untuk dua lagu.

“Janji ada bayaran, lagipun saya sedia terima mengenangkan kawan-kawan. Tak rugi pun sebab bukan percuma dan mereka pun menghargai kesanggupan kita,” ujarnya.

Pemilik nama sebenar, Mohd. Ali Kamarudin, 45, itu kini giat menjalani latihan bersama seorang lagi vokalis Exists, Ezad Lazim serta anggota lain sebagai persediaan Konsert Exists X Orkestra yang akan berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur, 22 Disember ini.

Berkolaborasi dengan lebih 30 pemuzik Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mamat mengakui cabaran kali ini memang berbeza.

Dalam konsert berdurasi tiga jam itu nanti, Mamat akan mendedangkan 11 lagu.

“Paling penting sekarang adalah jaga stamina dan kebiasaannya sebelum konsert besar saya minta pandangan kawan yang lebih berpengalaman untuk dapatkan hasil lebih baik,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok