Isu latihan tentera, 5 selebriti cetus kemarahan

KESEMUA ahli BTS dikatakan sedang membuat persiapan untuk memenuhi tanggungjawab menyertai perkhidmatan ketenteraan berwajib.

Ini bermakna tempoh penangguhan perkhidmatan tentera mereka telah tamat, sekali gus mereka akan masuk ke kem sebagaimana lelaki warga Korea Selatan lain.

Jika diimbas kembali, kumpulan lelaki yang dianggotai Jimin, V, Jungkook dan Suga itu sebelum ini sering dihimpit kontroversi berkaitan latihan ketenteraan.

Mereka menjadi bualan selepas mendapat pengecualian menyertai latihan wajib itu atas alasan memberikan sumbangan besar memartabatkan nama Korea Selatan.

Ada peminat berpendapat populariti BTS bukan sahaja memperkenalkan industri K-pop di seluruh dunia bahkan meletakkan Korea Selatan di aras yang tinggi. Jadi, itu alasan kukuh untuk mereka dikecualikan latihan ketenteraan.

Selain BTS, berikut beberapa selebriti yang pernah mencetuskan perasaan tidak puas hati orang ramai berikutan penangguhan menyertai latihan wajib ketenteraan.

Steve Yoo

KES penyanyi Steve Yoo antara isu paling panas dan menjadi bualan apabila dia sanggup melepaskan kewarganegaraan Korea Selatan demi lari daripada memenuhi tanggungjawabnya.

Selebriti berkenaan berjaya memperoleh kewarganegaraan Amerika Syarikat sekali gus melepaskan latihan ketenteraan.

Namun, pemilik nama lengkap Yoo Seung-jun berdepan impak besar apabila kerajaan Korea Selatan menganggap tindakannya itu sebagai pembelot sehingga melarangnya memasuki negara terbabit.

Selama bertahun-tahun, Steve meminta maaf, namun orang ramai masih memberikan reaksi dingin.

MC Mong

PADA tahun 2010, penyanyi hip-hop MC Mong didakwa sengaja mengelak daripada mengikuti perkhidmatan ketenteraan dengan mencabut giginya.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Shin Dong-hyun itu menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa giginya tercabut akibat penjagaan yang tidak baik.

Meskipun sudah menjelaskan perkara itu, segelintir pihak tidak dapat menerima perkara itu sehingga dia dicop menipu.

Akhirnya, dia didapati bersalah atas dakwaan sengaja menangguhkan tanggungjawab kepada negara dengan mencipta alasan palsu.

Sehingga kini, orang ramai tidak dapat memaafkan perbuatan MC Mong , malah masih mengungkit kesalahan itu.

kim Mu-yeol

DITUDUH mengelak daripada menjalani perkhidmatan ketenteraan berwajib, aktor Kim Mu-yeol pernah dipertikaikan khalayak.

Dia turut diberi notis terakhir untuk mendaftarkan diri pada 2009 kerana telah menangguhkan kemasukannya selama dua tahun.

Selepas tempoh berkenaan, Mu-yeol sekali lagi cuba mengelak dengan alasan mengalami kecederaan lutut.

Tidak terhenti di situ, bintang Juvenile Justice itu memaklumkan dia berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan menjadi satu-satunya harapan keluarga untuk mencari wang.

Meskipun alasannya diterima, Mu-yeol perlu mendaftarkan diri untuk perkhidmatan ketenteraan pada tahun 2012 hasil protes orang ramai.

Song Seung-heon

 

Kemarahan peminat terhadap Song Seung-heon berlaku sekitar tahun 2004 apabila dia menyerahkan sampel air kencing yang tercemar semata-mata ingin mengelak daripada mengikuti latihan terbabit.

Hasil laporan air kencing mendapati Seung-hoon menghidap penyakit diabetes.

Namun, laporan tersebut disahkan palsu dan sengaja direka-reka untuk mengelakkan diri daripada menyertai ketenteraan wajib ke atas semua lelaki dewasa warga Korea Selatan.

Selepas bantahan awam, aktor drama Black Knight itu memohon maaf, seterusnya segera menyatakan kesediaan melunaskan tanggungjawab sebagai warganegara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok