BERBEKALKAN pengalaman lebih dua dekad, Nabila Huda mampu memberi ‘nyawa’ untuk apa sahaja watak yang diberikan padanya.
Dedikasi terhadap setiap terjemahan karakter amat tinggi sehingga adakalanya roh karakter yang dipegang ‘merasuk’ dirinya berbulan-bulan lamanya.
Begitulah tahap kecintaannya terhadap bidang seni sehinggakan dia menegaskan, tidak akan sesekali membuang kerjaya tersebut daripada hidupnya.
Bagi pemilik nama penuh Nabila Huda Suhaimi itu, keputusan untuk tidak akan pernah meninggalkan kerjaya lakonan adalah kerana sudah sebati dengannya sejak 23 tahun lalu.
“Lakonan sudah terlalu sebati dalam diri dan saya akan kekal setia dengannya sampai bila-bila.
“Saya tidak akan ‘selingkuh’ dengan lakonan untuk bergelar pengarah atau penerbit sekalipun termasuk melakukan sebarang bisnes untuk menjadi kaya-raya,” katanya kepada Pose baru-baru ini.
Bukan hanya seperti nyawa, dia juga berkali-kali menegaskan perkataan ‘pencen’ daripada lakonan tidak pernah terbit dalam kamus hidupnya.
“Sejujurnya, tidak pernah terdetik walau sekali untuk tinggalkan dunia yang sangat saya cintai ini.
“Jadi, tiada istilah bersara untuk seorang Nabila Huda sebagai pelakon. Saya akan teruskan perjuangan ini sampai bila-bila,” ujarnya.
Melihat industri seni tempatan yang kini dibanjiri dengan bakat-bakat baharu, ibu kepada seorang cahaya mata itu tidak pernah rasa risau apatah lagi tercabar dengan kemunculan mereka.
Tegasnya, fokusnya sebagai seorang aktres hari ini adalah berseronok dengan memberi yang terbaik dalam setiap lakonan dan bukannya mengejar gelaran mahupun trofi anugerah.
“Sejak dahulu saya memang jenis buat hal sendiri sahaja.
“Tidak pernah pun rasa tamak apatah lagi wujud rasa nak berlumba-lumba mengejar gelaran pelakon nombor satu atau anugerah pelakon terbaik.
“Tidak pernah pun rasa insecure (tidak selamat) dengan kehadiran bakat baharu. Fokus hanya ingin berlakon sahaja dan gembira dengan kehidupan serta keluarga,” katanya lagi.
Sementara itu, anak kepada penyanyi rock terkenal, Amy Search itu bersyukur bakatnya masih didambakan oleh pengarah dan penerbit tempatan sehingga hari ini.
Paling teruja, Nabila tidak menyangka dia masih mampu menjayakan karakter gadis remaja seperti yang dipersembahkan dalam filem Budak Flat terbitan Prime Video.
“Umur saya ketika ini 39 tahun tetapi paling saya terkejut apabila masih diberi peluang jadi gadis remaja seperti dalam filem itu.
“Perkara itu sekali gus membuktikan saya berjaya memberi sisi berbeza walaupun usia hampir menjengah 40 tahun.
“Pada usia sekarang, saya masih mencari watak yang mencabar kemampuan diri. Proses belajar itu tidak akan pernah berhenti,” ujar bintang filem Rahsia itu. – HIBGLAM