Aron Koh bukukan pengalaman bikin filem

PENGALAMAN 18 tahun dalam dunia perfileman mendorong penerbit, Aron Koh berkongsi pandangan dengan penggiat idustri bagaimana menghasilkan karya yang memberi impak.

Buah fikiran tersebut digarap kemas bersama himpunan pahit manis pengembaraan yang diterjemahkan dalam Lensa: Di Sebalik Kisah Pembikinan Filem Malaysia.

Menurutnya naskhah tersebut bukan sahaja boleh dimanfaatkan penggiat seni bahkan dapat digunakan bagi tujuan pendidikan buat mereka yang berminat menceburi industri perfileman tanah air.

Melaluinya mereka dapat memahami peraturan industri, menganalisis proses pembikinan filem dan mengenal pasti faktor kejayaan sesebuah filem serta adaptasi trend industri pasca pandemik.

“Saya juga yakin buku ini akan memberi inspirasi dan idea kepada pembikin filem baharu, lepasan ijazah dan mereka yang sedang menunggu peluang serta pendedahan kepada pembuat filem luar negara tentang industri perfileman dalam Malaysia,” katanya.

Majlis pelancaran yang disempurnakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman membawa makna tersendiri terhadap perjuangannya selama ini.

Aron Koh (empat dari kanan) bersama tetamu dan pengurusan Lomo Pictures.

Berpengalaman sebagai Pengurus Besar Akademi Filem dan TV Limkokwing, Aron berkata, antara intipati buku itu adalah berkisar tentang keadaan semasa industri filem Malaysia, cabaran dalam industri dan jalan ke hadapan untuk pembikin terus berdaya saing.

“Selain itu, turut dimuatkan analisa secara menyeluruh mengenai pemahaman dan pandangan saya terhadap industri, masalah yang dihadapi dan cadangan yang kontra,”katanya.

Kongsi Aron lagi, naskhah tersebut turut diperakui penerbit popular Blockchain Agency selain merupakan karya pertama pembuat filem Malaysia yang diletakkan di platform dagangan NFT.

Sebelum ini, dedahnya buku berkenaan ditulis dalam bahasa Inggeris berjudul ZOOM IN: The Untold Story of Malaysian Filmmaking, namun dihasilkan dalam bahasa Malaysia atas permintaan ramai.

Aron yang juga Penerbit Lomo Pictures pernah menerbitkan filem popular seperti Haunted Hotel dan bakal memperkenalkan tiga filem serta satu dokumentari iaitu Asean Horror tahun hadapan iai.

Judul filem terbabit adalah Tiga Adiwira, Syaitan Nirrajim, The Missing Child.

Sebelum ini, filem terbitan Lomo Pictures, Small Town Heroes merangkul tujuh trofi di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32).

Filem, Adoiii Jiwaku yang juga terbitan syarikatnya turut dinobatkan trofi khas Audience Award pada Festival Filem Antarabangsa Malaysia keenam (MIFFest6), Ogos lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok