Hidap pneumonia, Suhaimi Saad masih ditidurkan

BEKAS ahli kumpulan In-Team, Suhaimi Saad kini berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Johor sejak lima hari lalu berikutan jangkitan kuman pada paru-paru.

Isteri kepada bekas anggota In-Team, Nordiana Mohd Naim, 39, bagaimanapun memberitahu Suhaimi yang kini masih ditidurkan bebas daripada penyakit Tuberculosis (tibi).

“Setakat ini, doktor maklumkan suami mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan bebas Tuberculosis (tibi) selepas melakukan ujian pertama.

“Namun, untuk mengesahkan lagi hal ini, doktor akan lakukan ujian kedua dan kami sedang menunggu keputusan,” katanya.

Dalam masa sama, Ina tetap yakin suaminya akan kembali sembuh selain memohon orang ramai terus menitipkan doa.

“Suami masih ditidurkan dan keadaannya kritikal tetapi semalam oksigen berada pada tahap normal, cuma jantungnya masih lagi laju sekitar 130.

“Saya yakin suami akan sembuh. Saya juga mohon doa orang ramai mendoakan Suhaimi,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Suhaimi mengalami penurunan berat badan mendadak iaitu kira-kira 20 kilogram (kg) sebulan lalu.

“Baru-baru ini Suhaimi mengalami batuk tetapi lama-kelamaan semakin teruk sehingga dia sesak nafas.

“Selepas batuk semakin pulih, dia cirit-birit pula sehingga tak sanggup nak makan dan sebab itulah berat badannya tinggal 43kg.

“Kami sudah melakukan ikhtiar sehingga dia sendiri minta dihantar ke hospital yang dianggap sebagai usaha terakhir,” ujarnya.

Semalam Ina memaklumkan kesihatan suaminya berada dalam keadaan kurang baik.

Sejak semalam, tular dalam laman sosial mengenai keadaan kesihatan penyanyi sensasi itu yang dikatakan sudah dibawa keluarga mentuanya pulang ke Johor bagi mendapatkan rawatan.

Difahamkan, penyanyi yang sudah berhijrah ke Kelantan itu menghidap penyakit kronik namun pemilik akaun yang menguar-uarkan khabar tersebut tidak mendedahkan butiran lanjut.

Suhaimi, 43, yang bersama In-Team selama lima tahun bermula pada tahun 2000 itu pernah mengejutkan ramai apabila mengumumkan ingin bersara sebagai penyanyi nasyid selain enggan dipanggil ustaz. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok