Fizi Ali kecewa tak jumpa anak di majlis graduasi

PENYAMPAI radio sensasi Fizi Ali kecewa apabila niat ingin berjumpa anak perempuannya, Nur Ameena Sofia pada hari graduasi tidak kesampaian.

Fizi, 34, terkilan apabila Ameena tiada di lokasi konvokesyen tadika semasa tiba di lokasi kejadian tanpa sebab yang dimaklumkan.

“Daddy tunggu Ameena dekat tempat graduasi tetapi tak muncul-muncul.

“Kasihan awak penat-penat berlatih hari-hari tunjuk dekat daddy dan mama.

“Akhirnya, awak tiada hari ini. Daddy tidak tahu awak dimana. Jaga diri, sayang,” luah Fizi atau nama sebenarnya, Mohd. Hafizudin Alimudin dalam hantaran Instagram.

Dalam hantaran tersebut, Fizi dilihat memegang sejambak bunga dan coklat bersama patung berwarna ungu di hadapan tadika swasta di Cyberjaya.

Bagaimanapun, Fizi reda dengan apa yang terjadi dan berjanji akan membawa keluarganya ke Perak sebagai tanda terima kasih atas usaha anaknya itu.

“Tidak mengapalah. Allah ada, selamat bergraduasi Ameena.

“Sepatutnya kita sambut di Tambun. Nanti kita ganti balik,” ujarnya.

Ini bukan kali pertama Fizi berhadapan konflik anak bersama bekas isterinya iaitu pelakon Shakilla Khoriri.

Terdahulu, bekas isteri Fizi iaitu Shakilla mempersoalkan muat naik sekeping foto yang tular menyaksikan mulut Ameena ditekup kakak tirinya itu. Katanya, dia tidak senang dengan perkara tersebut.

Sebelum ini, penyampai radio Hot FM itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla pada 18 Februari 2018 namun bercerai dua tahun kemudian.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Ameena Sofia, 4. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok