2023 tahun bahagia bintang K-pop

TAHUN 2023 dikatakan menjadi tanggal pilihan ramai selebriti Korea Selatan menamatkan zaman bujang.

Boleh dikatakan, 2023 juga menjadi tahun kecewa buat peminat apabila rata-rata artis kesayangan mereka sah memiliki teman sehidup semati.

Berikut antara catatan momen perkahwinan bintang-bintang K-pop yang diadakan secara tertutup mahu pun gilang-gemilang sepanjang tahun ini.

Kim Dong-ho, Yoonjo

Pelakon Kim Dong-ho mengejutkan peminat apabila memaklumkan ingin menamatkan zaman solo bersama penyanyi Yoonjo pada 11 September lalu.

Dong-ho berkata dia mahu menghabiskan sisa hidupnya bersama wanita pilihan pada November ini.

Mereka juga menulis sepucuk surat khas buat peminat memaklumkan khabar gembira tersebut. Percintaan mereka sebenarnya telah lama terjalin, namun sengaja dirahsiakan.

Sojin

Rancangan untuk merahsiakan tarikh perkahwinan ahli kumpulan Girl’s Day iaitu Sojin gagal apabila individu dalam industri sendiri mendedahkan khabar gembira tersebut.

Vokalis kumpulan Girl’s Day itu memilih aktor popular, Lee Dong-ha sebagai pasangan hidupnya.

Kedua-dua agensi artis terbabit mengeluarkan kenyataan mengesahkan berita yang disebarkan sebelum ini.

Dikhabarkan, perkahwinan mereka akan berlangsung secara tertutup di Seoul dalam waktu terdekat.

Lee Suji, Go Hyung-woo

SECARA rasminya, pelakon Lee Suji dan Go Hyung-woo selamat bergelar suami isteri pada 7 Oktober lalu.
Pada pagi sebelum majlis pernikahan, bekas ahli kumpulan Uni.T itu memuat naik foto beberapa jambangan bunga yang diterima daripada ibu bapanya sebagai tanda ucapan tahniah.
Sekitar majlis pernikahan, kelihatan ahli kumpulan Seventeen, Seungkwan dan kesemua ahli Uni.T turut hadir memeriahkan suasana.
Sebelum ini Suji mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga pada September lalu melalui sekeping surat kepada peminat.

Son Dong-woon

 

Pada 27 Jun lalu, penyanyi Son Dong-woon memuat naik sepucuk surat bertulis tangan mengumumkan tentang perkahwinannya yang berlangsung pada September.

Ahli termuda kumpulan Highlight itu turut memohon maaf kepada peminat dengan berita yang mengejutkan tersebut.

Seperti kebanyakan artis Korea, Dong-woon turut memilih mengadakan majlis tertutup demi menghormati isteri yang bukan selebriti.

Biarpun sudah berkahwin, anak jati Busan itu kekal aktif dalam industri seni sebagai penyanyi dan penulis lirik.

Minha

Enggan menunggu lama, penyanyi Minha mengumumkan sedia melangkah ke gerbang perkahwinan pada 5 Februari lalu.

Ahli kumpulan 9Muses itu menamatkan zaman bujang tiga bulan kemudian yang turut dimeriahkan kehadiran kesemua ahli kumpulannya.

Dia menyifatkan suaminya sebagai individu paling istimewa yang ditemui ketika dirinya berada dalam fasa sukar.

“Dalam tempoh tiga tahun kami bersama, dia menemui sisi baharu saya yang saya sendiri tidak sedar.

“Dia juga membuat saya tersenyum dan mendorong saya lebih berani untuk maju ke hadapan,” katanya selepas berkahwin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok