Shila Amzah jawab tuduhan kekasih adik hutang sini sana

PENYANYI Shila Amzah tidak menerima alasan kekasih Amir Syafiq, Eiza Iedani menetap di rumahnya di Hulu Langat disebabkan adik serta bapanya, Datuk ND Lala berhutang dengan wanita itu.

Katanya, dia tidak mempunyai kaitan dengan isu hutang mereka, sekali gus mempunyai hak untuk meminta wanita terbabit keluar dari kediaman yang berada di bawah namanya itu.

Secara logiknya, rumah itu rumah siapa? Saya tiada kaitan dengan dia mahu pun isu hutang bapa atau duit dipinjam Syafiq.

“Kalau suatu hari nanti dia tunjuk jumlah hutang dia dengan ahli keluarga saya pun, saya cuma mampu angguk, tetapi saya tetap tidak izinkan dia tinggal di situ.

“Saya sudah lama bersabar. Saya memang tidak suka kalau orang datang rumah tanpa bagitahu terlebih dahulu, inikan pula duduk rumah saya,” katanya ketika ditemui selepas program Famili Duo musim tiga (FD3), malam tadi.

Penyanyi Patah Seribu itu turut meminta Eiza serta pihak berkaitan tidak lagi membuka mulut atau terus bersuara mengenai keluarganya.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 33, enggan memanjangkan isu terbabit kerana tidak mahu menjadi batu loncatan kepada individu yang mengejar kemasyhuran.

Saya tidak ambil tahu. Saya tidak mahu popularkan orang yang tidak perlu. Hari itu saya suruh dia keluar kerana memang patut Eiza keluar dari rumah milik saya.

 

Saya bukan mahu berlagak seperti tuan rumah, tapi saya rasa semua orang perlu ada kehormatan diri.

“Benda ini sebenarnya kelakar, saya tidak tahu mengapa kita pandang terlalu serius. Sebab itu dari awal saya harap cukup-cukuplah, berhentilah buat ‘live’,” katanya.

Sebelum ini, wanita bernama Eiza yang menafikan kekasih kepada adik Shila tampil membuat penjelasan bahawa dia tinggal di rumah keluarga itu sejak Disember 2021 selepas mendapat lampu hijau daripada bapa penyanyi tersebut.

Selain disebabkan rumahnya ditenggelami air akibat banjir, Eiza mendakwa ND yang mengambilnya sebagai pembantu peribadi turut menggunakan wangnya sebanyak RM8,000 untuk pendaftaran ahli perniagaan multi level marketing (MLM).

Dakwanya lagi, Syafiq pula mengalami kerugian besar dalam perniagaan telah meminjam wangnya, namun tidak dinyatakan jumlah yang diberikan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok