Shila Amzah sudah letih, mahu berhenti menyanyi?

PETALING JAYA – Penyanyi Shila Amzah mengakui berada dalam fasa keletihan melampau (burnout) sehingga membuatkan dirinya tertanya-tanya sama ada mahu meneruskan atau berhenti sahaja daripada bergelar penyanyi.

Menerusi perkongsian dalam InstaStory miliknya, Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah seolah-olah memberi bayangan sama ada perlu meneruskan kerjaya nyanyiannya selepas mengalami keletihan melampau sehingga mengganggu emosi dan mentalnya.

“Saya sangat burnout. Saya tidak pasti jika saya membuat keputusan yang tepat berhubung karier.

“Saya lebih banyak mempersoalkan diri sejak kebelakangan ini dan tidak tahu cara untuk memperbaikinya,” tulis Shila.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 33 tahun itu tidak menjelaskan lebih terperinci punca sebenar dirinya berasa sedemikian.

Namun, ada kemungkinan perasaan yang dialami Shila berpunca daripada masalah keluargaan yang dihadapinya sejak bulan lalu, selain penurunan prestasinya dalam program Famili Duo musim ketiga (FD3).

Sejak bulan lalu, timbul pertikaian antara Shila dengan keluarganya selepas adik perempuannya, Syada memuat naik hantaran rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang diduduki bersama ibu mereka.

Konflik semakin memuncak apabila Shila membuat hantaran balas dalam sesi siaran langsung dalam Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta kad pengenalan sehingga berumur 28 tahun.

Pelantun lagu Tiada Dirimu itu turut memperincikan keputusan rumah miliknya serta sikap Syafiq dan Syada sehingga ibu mereka tampil bersuara sekali gus menghangatkan lagi suasana.

Pada Ahad lalu, persembahan Shila bersama adiknya, Amir Syahir ketika konsert minggu ketiga program FD3 menyaksikan pasangan duo itu berada di kedudukan tercorot, selepas dua minggu mendapat naib juara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok