‘Jika dibandingkan dengan Syamsul Yusof, itu soal cita rasa’

MENERAJUI watak Ustaz Adam menerusi filem Munafik: Melawan Iblis bukan tugas yang mudah buat aktor Indonesia, Arya Saloka, apatah lagi apabila naskhah asal arahan Syamsul Yusof iaitu Munafik yang dihasilkan sekitar tahun 2016 meninggalkan impak luar biasa dalam industri perfileman di Malaysia.

Meski beban yang digalas sangat besar, Arya merasakan peluang untuk menghidupkan karakter itu platform terbaik untuk menguji kemampuan sebagai pelakon dalam naskhah genre seram.

Sedar akan dibandingkan dengan Syamsul yang merupakan pemegang asal watak Ustaz Adam, Arya atau nama sebenarnya, Putra Arya Saloka menganggap perkara tersebut bukan satu perkara yang perlu dirunsingkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia bahkan menghormati cita rasa penonton yang mempunyai pandangan berbeza terhadap setiap pelakon.

Dia bahkan beberapa kali memohon maaf sekiranya lakonan yang diberikan tidak setanding dengan persembahan Syamsul.

Katanya, dia memahami setiap penonton mempunyai cita rasa tersendiri, apatah lagi Munafik versi Malaysia sudah mempunyai peminat yang mengikuti naskhah berkenaan sejak awal.

“Ya, setiap penonton filem pasti mempunyai cita rasa masing-masing. Saya faham Munafik Malaysia sangat luar biasa selain sudah mempunyai peminatnya sendiri.

Sebenarnya, bukan filem Munafik sahaja. Filem-filem saya sebelum ini pun, setiap kali sidang media, saya akan meminta maaf jika ada kekurangan kerana itu sahaja hasil terbaik yang mampu saya berikan.

“Jadi, saya berharap semua orang dapat menerima lakonan saya,” kata aktor berusia 35 tahun itu.

Biarpun sedar perbandingan antara dirinya dengan Syamsul Yusof tidak dapat dielakkan, Arya menegaskan perkara itu bukan sesuatu yang perlu dijadikan pertikaian.

Sebaliknya, pelakon itu berpandangan setiap pelakon mempunyai pendekatan dan cara tersendiri dalam menghidupkan sesebuah watak.

“Perkara itu sebenarnya tidak menjadi masalah buat saya kerana setiap pelakon mempunyai pendekatan berbeza.

Di Hollywood pun, apabila kita menonton filem Batman atau Joker, watak itu sering dibawakan oleh pelakon berbeza. Daripada Heath Ledger hingga Joaquin Phoenix, masing-masing mempunyai warna tersendiri.

“Jadi, semuanya berbalik kepada cita rasa penonton. Mereka sendiri yang menentukan persembahan mana yang lebih disukai,” tuturnya yang popular menerusi naskhah Gadis Kretek.

Dalam pada itu, Arya mendedahkan dia belum berkomunikasi secara langsung dengan Syamsul sepanjang persiapannya menjayakan watak Ustaz Adam.

Bagaimanapun, dia memaklumkan pihak produksi Skop Productions memberikan kebebasan kepadanya untuk mengembangkan karakter berkenaan selain mengikuti arahan Guntur untuk hala tuju watak dipegangnya.

Setakat ini, saya belum berkomunikasi secara langsung dengan Syamsul, mungkin Pak Guntur dan Pak Oswin sudah berkomunikasi dengannya terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, pihak Skop Productions sendiri memberikan kebebasan dan ruang kepada kami, khususnya saya, untuk mengembangkan lagi karakter Ustaz Adam dalam filem Munafik ini.

“Jadi, dari segi komunikasi, saya mengikuti arahan pengarah saja,” jelasnya.

MENGGALAS amanah sebagai Ustaz Adam dalam Munafik: Melawan Iblis, Arya Saloka mengakui bukan mudah kerana perlu mengawal emosi watak itu yang berubah-ubah mengikut perkembangan cerita.


Bercerita mengenai peluang membawa watak berkenaan, Arya berkata dia bersyukur kerana dipilih tanpa perlu melalui proses uji bakat seperti kebiasaan.

“Syukur kerana pengarah kami iaitu Guntur Soeharjanto dan penerbit, Oswin Bonifanz memberi kepercayaan untuk saya memegang peranan Ustaz Adam.

Saya benar-benar tidak tahu apa yang ada dalam fikiran mereka ketika menawarkan filem ini tetapi sangat bersyukur kerana mereka percaya dengan kemampuan saya.

“Saya tidak melalui proses uji bakat dan disebabkan itu memanfaatkan setiap proses latihan sebaik mungkin kerana mahu memberikan yang terbaik dan enggan mengecewakan mereka,” katanya.

Buku nota, sokongan

Bukan sekadar perlu membawa watak yang sudah dikenali peminat filem asal, Arya turut berdepan cabaran untuk mengawal emosi Ustaz Adam yang berubah-ubah mengikut perkembangan cerita.

Bagi memastikan setiap babak mempunyai kesinambungan emosi yang tepat, Arya mengambil pendekatan tersendiri dengan mencatat perkembangan perasaan wataknya dalam buku berasingan daripada skrip.

“Saya sentiasa berbincang dengan pengarah dan jurulatih lakonan untuk setiap perkembangan Ustaz Adam yang mempunyai banyak perubahan emosi.

Saya mencatat semua proses dalam sebuah buku nota. Saya akan membuka buku itu untuk mencari nota berkaitan babak sendiri.

“Sebelum mula penggambaran, saya akan kumpul dan memahami terlebih dahulu setiap emosi yang diperlukan oleh Ustaz Adam. Syukur semua perancangan berjalan lancar,” jelasnya.

Arya turut mengakui berasa tekanan sepanjang menjayakan filem tersebut memandangkan francais Munafik mempunyai kelompok peminat sendiri.

Tekanan itu memang ada kerana umum tahun filem ini sangat popular di Malaysia tetapi saya syukur kerana sentiasa mendapat sokongan daripada rakan pelakon lain, pengarah dan seluruh pasukan produksi.

“Alhamdulillah saya gembira sepanjang menjalani penggambaran filem ini dan tidak sabar menanti respons penonton,” kongsinya yang turut mendalami bacaan al-Quran dan Iqra demi Ustaz Adam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok