BELUM sempat dipromosikan menerusi kempen berskala besar di Malaysia, Cukup Sudah Cukup, lagu kedua daripada album baharu Mila Jirin yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini, mula mendapat tempat di Indonesia apabila diputarkan di beberapa stesen radio utama negara itu, termasuk Gen FM dan Prambors FM.
Perkembangan tersebut memberi petanda positif kepada perjalanan baharu Mila yang kini bukan sahaja mahu membina semula momentum muziknya di Malaysia, malah mula memperkenalkan karya dan vokalnya kepada pendengar Indonesia.
Berbeza daripada pelancaran single pertamanya, Tersimpan Dalam Hati, Cukup Sudah Cukup tidak disertai dengan sidang media atau acara pelancaran khas di Malaysia.
Sebaliknya, lagu itu diedarkan untuk pasaran tempatan dan Indonesia sebagai sebahagian daripada strategi memperkenalkan secara berperingkat karya-karya daripada album baharu Mila kepada pendengar di kedua-dua negara.
Bagi Mila, apabila Cukup Sudah Cukup mula diputarkan stesen radio Indonesia, itu satu perkembangan yang cukup bermakna, lebih-lebih lagi ketika dia masih berada di fasa awal pengenalan pasaran tersebut.
“Saya sangat bersyukur apabila dimaklumkan Cukup Sudah Cukup mula dimainkan di beberapa stesen radio di Indonesia termasuk Gen FM dan Prambors FM.
“Saya sedar perjalanan saya di Indonesia masih terlalu awal. Ramai mungkin belum mengenali siapa Mila Jirin, jadi apabila lagu dan suara saya terlebih dahulu diberikan ruang untuk diperdengarkan di sana, itu satu permulaan yang sangat bermakna,” katanya.
Cukup Sudah Cukup merupakan kolaborasi Mila bersama komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala lirik dihasilkan Aisah Rizky.
Keseluruhan proses produksi audio lagu tersebut dilakukan di Jakarta, merangkumi susunan muzik, rakaman vokal, pengarahan vokal, mixing dan mastering.
Kerjasama itu menjadi antara langkah awal Mila membina jaringan kreatif di Indonesia sambil mencari warna dan perspektif baharu untuk album yang sedang dipersiapkan.
“Kerjasama dengan Ilham Baso bermula daripada muzik. Saya sukakan cara dia memahami emosi sesebuah lagu dan bagaimana sesuatu melodi boleh dibawa supaya lebih dekat dengan pendengar.
“Daripada situ, saya melihat ada ruang untuk saya meneroka lebih banyak kolaborasi di Indonesia. Fokus saya bukan untuk datang dengan cerita siapa saya di Malaysia, tetapi mahu pendengar di sana mengenali saya melalui lagu dan nyanyian terlebih dahulu,” jelas Mila.
Melengkapkan perjalanan Cukup Sudah Cukup, video muzik lagu tersebut turut menjalani penggambaran sepenuhnya di Jakarta pada pertengahan Ogos lalu.
Video muzik itu dihasilkan Bizmedia Marketing bersama pasukan produksi Indonesia dan diarahkan Wahyu Taufani Prialangga, sekali gus meneruskan kesinambungan kolaborasi kreatif Malaysia – Indonesia yang dibawa menerusi projek tersebut.
Muzik video rasmi Cukup Sudah Cukup boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos pada 4 September lalu. Lagu tersebut juga boleh didengar menerusi semua platform penstriman muzik utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan platform digital lain pada hari sama.
Ke Jakarta, Bandung
Momentum di Indonesia akan diteruskan apabila Mila dijadualkan memulakan siri pertama jelajah radio di Jakarta dan Bandung pada Oktober ini.
Kunjungan tersebut akan menjadi antara sesi pengenalan secara langsung Mila bersama stesen-stesen radio dan media di Indonesia, selain membuka peluang untuk beliau berkongsi dengan lebih dekat mengenai Cukup Sudah Cukup serta perjalanan muzik baharunya.
Bagi Mila, langkah itu perlu dilakukan secara konsisten dan bukan sekadar bergantung kepada pengedaran lagu secara digital.
“Saya mahu pergi sendiri dan bertemu dengan radio serta media di sana. Saya mahu memperkenalkan muzik saya secara perlahan-lahan dan membina hubungan dengan mereka.
“Saya tidak meletakkan sasaran untuk terus dikenali dalam masa yang singkat. Saya mahu bina perjalanan ini dengan betul. Kalau pendengar Indonesia mula mengenali
Mila Jirin melalui lagu dan suara terlebih dahulu, itu sudah menjadi satu permulaan yang sangat baik untuk saya,” katanya.
Cukup Sudah Cukup merupakan lagu kedua daripada album baharu Mila Jirin yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini.
Album tersebut menandakan fasa baharu perjalanan muzik Mila selepas kembali aktif dalam dunia rakaman dan bakal menghimpunkan beberapa karya serta kolaborasi melibatkan tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia.
Single pertama, Tersimpan Dalam Hati menjadi pembuka kepada perjalanan tersebut dengan kejayaan awal menembusi Top 30 carta ERA 40, manakala Cukup Sudah
Cukup memperlihatkan perkembangan seterusnya dengan strategi pengedaran dan promosi yang turut memberi tumpuan kepada pasaran Indonesia.
Bagi Mila, usaha tersebut bukan bermakna meninggalkan pasaran Malaysia, sebaliknya membawa karya muziknya ke ruang yang lebih luas.
“Saya percaya muzik kita mempunyai ruang yang lebih luas untuk bergerak di rantau ini.
“Album ini sangat penting kepada saya kerana ia menandakan satu fasa baharu selepas sekian lama. Saya mahu setiap lagu mempunyai perjalanan dan ceritanya sendiri. Kalau Cukup Sudah Cukup menjadi antara lagu yang membuka pintu perjalanan saya di Indonesia, saya sangat bersyukur,” katanya.
