‘Awak perlukan lelaki penyedia, bertanggungjawab, ada empati, cerdas emosi’

BAYANGAN tidak seindah realiti, penyanyi Kaka Azraff menasihatkan golongan wanita agar lebih berhati-hati memilih lelaki untuk dijadikan pasangan hidup dan tidak terlalu terburu-buru dalam mendirikan rumah tangga.

Ujar Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 36, perkara paling utama perlu dinilai sebelum memilih pasangan ialah kemampuan lelaki memikul tanggungjawab, khususnya terhadap Tuhan serta keluarga.

“Tolonglah cari lelaki yang nampak dia boleh pegang tanggungjawab. Itu perkara pertama perlu difikirkan apabila bercakap soal perkahwinan.

“Paling penting ialah tanggungjawab dia kepada Tuhan, keluarga dan tanggungjawab terhadap awak sebagai insan dia mahu bawa masuk ke dalam hidupnya,” katanya dalam sebuah program audio siar.

Tambah pelantun lagu Sibuk itu, fasa percintaan sering membuatkan seseorang melihat sisi menarik pasangan, sedangkan alam perkahwinan hadir bersama pelbagai komitmen serta cabaran lebih besar.

“Bercinta lain. Ketika bercinta, kalian hanya nampak betapa menarik dan mempesonanya lelaki itu.

“Tetapi apabila berkahwin, perkara-perkara tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada kehidupan. Semua itu berada dalam satu kotak kecil sahaja, paling utamanya adalah tanggungjawab,” ujarnya.

Kaka menekankan aspek kemampuan menyediakan keperluan keluarga atau menjadi ‘provider’ sebagai antara perkara penting sebelum seseorang wanita membuat keputusan mendirikan rumah tangga.

“Berdasarkan pengalaman saya, kalau awak mahu memilih lelaki untuk dijadikan suami, kemampuan menyediakan nafkah juga perlu berada pada kedudukan pertama.

“Perkara itu bukan hanya dalam Islam. Dalam budaya Barat pun kita dapat lihat adanya tanggungjawab nafkah anak. Bagi kita, perkara itu disebut sebagai nafkah.

“Jadi, awak perlukan seorang lelaki yang mampu menjadi penyedia, bertanggungjawab, mempunyai empati serta kecerdasan emosi,” jelasnya.

Tegasnya, pandangan itu hadir daripada pengalaman peribadi selepas melalui fasa perceraian, namun tidak pernah membuatkannya hilang kepercayaan terhadap institusi perkahwinan.

“Saya bercakap berdasarkan pengalaman sebagai seseorang pernah melalui fasa perceraian. Namun, sampai sekarang saya masih percaya kepada perkara itu.

“Saya masih percaya perkahwinan boleh menjadi sesuatu indah apabila kedua-dua pihak memahami tanggungjawab, saling menyokong serta mempunyai kematangan emosi,” ungkapnya.

Perkongsian Kaka turut mengundang pelbagai reaksi netizen, khususnya wanita berkaitan kepentingan memilih pasangan berdasarkan sikap serta tanggungjawab, bukan sekadar rupa paras atau layanan ketika bercinta.

Namun, terdapat juga netizen berpendapat kemampuan kewangan bukan satu-satunya ukuran dalam memilih pasangan kerana keharmonian rumah tangga turut bergantung pada komunikasi, kepercayaan dan kesediaan kedua-dua pihak menjalankan tanggungjawab.

Untuk rekod, Kaka sebelum ini pernah bercerai dengan suaminya, Adam pada 28 Oktober 2024 sebelum mereka kembali rujuk pada awal 2025 ketika masih dalam tempoh idah.

Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga cahaya mata lelaki, Aslan, 6, Aryan, 5, dan Atta Adam.

Bagaimanapun, pasangan terbabit sekali lagi berdepan perceraian apabila Kaka memaklumkan mereka bercerai buat kali kedua pada 4 Jun lalu. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok