‘Marilah kita bantu Murali, RM10 pun sangat bermakna’

PELAKON Betty Banafe tampil merayu keprihatinan masyarakat khususnya penggiat seni tanah air untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kewangan buat pengarah terkenal, Murali Abdullah.

Menurut Betty, 46, Murali kini berada dalam proses pemulihan selepas diserang strok, serta tidak lagi mempunyai pendapatan tetap untuk kelangsungan hidup.

“Hari ini, keadaan Murali sangat berbeza, beliau dalam proses pemulihan selepas diserang strok. Kini menggunakan kerusi roda dan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Saya sendiri berusaha membantu Murali mendapatkan bantuan zakat daripada MAIWP. Namun, sementara menunggu proses dan kelulusan bantuan tersebut, Murali memerlukan sedikit sokongan daripada kita semua.

“Saya melakukan usaha kecil ini tanpa pengetahuan Murali. Bukan kerana saya mahu membuka aib atau kisah hidup beliau tetapi kerana saya tahu Murali seorang yang sangat menjaga privasi dan tidak mudah meminta pertolongan daripada orang lain.

“Namun, kali ini kita sebagai sahabat dan keluarga besar industri seni, perlu tampil bersama. Kalau dahulu Murali memberikan bakatnya kepada industri kita, mungkin hari ini tiba masanya kita pula memberikan sedikit kekuatan kepadanya,” katanya dalam Instagram.

Tambahnya, dia memohon rakan-rakan artis, penerbit, pengarah, kru produksi serta orang ramai yang mengenali karya-karya Murali agar memberikan sokongan moral dan kewangan.

“Dengan rendah hati saya memohon sahabat-sahabat saya khususnya penggiat seni, artis, penerbit, pengarah, kru produksi dan semua yang pernah mengenai Murali.

“Marilah kita sama-sama bantu beliau. Tidak perlu menunggu mempunyai jumlah besar, RM10 pun sangat bermakna.

“Ikut kemampuan masing-masing, yang penting bukan jumlahnya tetapi keikhlasan kita untuk berkata ‘Murali, kamu tidak keseorangan’,” ujarnya lagi.

Malah, pelakon filem Buai Laju-Laju itu turut menyertakan butiran akaun bank milik Murali buat orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan.

“Semoga setiap ringgit yang kita hulurkan menjadi sedekah yang diberkati Allah, menjadi asbab dipermudahkan urusan Murali, diberi kesembuhan, kekuatan dan kehidupan yang lebih baik.

“Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Murali Abdullah,
Bank Islam: 14032024402167. Moga Allah buka jalan rezeki yang melimpah ruah.

Pada penghujung 2011, Murali diserang strok sehingga mengakibatkan dia terlantar di Hospital Selayang kira-kira sebulan.

Kemudian, dia diuji lagi apabila diserang sakit jantung yang serius pada tahun lalu.

Untuk rekod, Murali merupakan antara pengarah berpengaruh yang pernah mencetuskan fenomena menerusi pelbagai naskhah hebat seperti Suara Saleha, Aku Kaya The Movie, dan Aisah 50 Sen.

Kehebatan sentuhan magisnya turut diiktiraf apabila dia pernah menjulang trofi Pengarah Terbaik Drama pada Anugerah Skrin (ASK) 2008 menerusi drama Suara Saleha, serta ASK 2010 menerusi drama Sebelum Akhirat yang pernah menjadi rebutan banyak penerbit dan stesen televisyen tempatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok