SELEPAS hampir sedekad menempa nama dalam arena e-sukan, jenama tempatan TODAK kini mengembangkan sayap ke dunia fesyen menerusi koleksi ‘street wear’ khas buat komuniti pemain permainan video.
Lebih membanggakan, langkah pertama itu bukan hanya dilancarkan dalam suasana biasa apabila TODAK membawa koleksi sulungnya, BattleScars, ke pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) baru-baru ini.
Penampilan tersebut sekali gus memperlihatkan evolusi TODAK daripada sebuah organisasi e-sukan kepada jenama gaya hidup berteraskan budaya permainan, selain membuktikan dunia fesyen dan e-sukan mampu bersatu dalam satu pentas.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TODAK Holdings, Khairul Azlan Zainal Ariffin berkata, penyertaan dalam KLFW menjadi antara detik penting buat TODAK selepas perancangan untuk meneroka dunia fesyen dirangka sejak beberapa tahun lalu.
“Sebenarnya, ini ialah satu detik yang sudah lama kami nantikan. Peralihan ini juga bukan berlaku secara tiba-tiba kerana kami sudah merancangnya selama bertahun-tahun.
“Bagi TODAK, kami memang sudah lama terlibat dalam dunia fesyen, tetapi penyertaan di KLFW menjadi satu kenyataan besar bahawa kami kini serius untuk melangkah lebih jauh sebagai jenama gaya hidup,” katanya.
Tanbahnya, BattleScars bukan sekadar himpunan pakaian jalanan, sebaliknya membawa naratif perjalanan TODAK menjelang ulang tahun ke-10 dalam industri e-sukan pada tahun depan.
“BattleScars menggambarkan perjalanan TODAK sepanjang hampir sedekad. Setiap kejayaan pasti hadir bersama cabaran, tekanan dan pengorbanan. Semua pengalaman itu menjadi parut, tetapi parut bukan lambang kekalahan.
“Sebaliknya, setiap parut mengingatkan kita tentang pertumbuhan, ketahanan dan keberanian untuk terus melangkah. Itulah semangat ingin kami terapkan menerusi koleksi ini,” ujarnya.
BattleScars mendapat inspirasi daripada hampir satu dekad persaingan, ketahanan serta proses mencipta semula identiti TODAK secara berterusan.
Koleksi berkenaan meraikan segala pengalaman, kemenangan serta cabaran membentuk evolusi TODAK daripada organisasi e-sukan kepada jenama gaya hidup e-sukan bertaraf global.
Dari segi rekaan, BattleScars menggabungkan potongan teknikal, elemen pakaian jalanan kontemporari serta perincian berinspirasikan prestasi bagi menterjemahkan semangat permainan kompetitif ke dalam fesyen harian.
Setiap helaian turut membawa mesej mengenai keyakinan, ketabahan dan keperibadian generasi baharu, khususnya kelompok membesar bersama permainan video sebagai sebahagian daripada identiti mereka.
Dalam pada itu, penampilan koleksi berkenaan di KLFW turut mendapat sokongan selebriti tempatan apabila pelakon Ezaidi Aziz, Ikmal Amry dan Nabil Ahmad tampil menggayakan rekaan BattleScars.
Kehadiran mereka menambahkan lagi aura koleksi sulung TODAK, sekali gus memperlihatkan fesyen berteraskan budaya e-sukan mampu merentasi kelompok komuniti permainan video dan diterima dalam arus perdana.
Langkah TODAK ke pentas fesyen itu menjadi satu lagi babak penting dalam perjalanan jenama berkenaan, membuktikan semangat kompetitif tidak semestinya terhenti di hadapan skrin, sebaliknya mampu diterjemahkan ke jalanan melalui gaya, identiti dan keberanian mencipta sesuatu baharu. – HIBGLAM.
