Anne Ngasri mahu bantu ramai wanita bangkit berjaya

DEMI menyuntik inspirasi dan memperkasa golongan wanita, pelakon serta ahli politik, Datin Anne Ngasri bakal berkongsi pengalaman hidup dan perjalanan kerjayanya menerusi program Bidadari Dambaan Syurga 2026 di Laman Sejahtera, Sungai Koyan, Pahang pada Sabtu ini.

Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 42, mengakui berasa terharu apabila diberi kepercayaan untuk menjadi antara panel utama bersama ikon usahawan wanita, Datin Hamizan Puteh dalam program berkenaan.

Menurut Anne, walaupun tidak menganggap dirinya individu paling layak, peluang tersebut diterima dengan hati terbuka demi berkongsi pengalaman selain membantu lebih ramai wanita mencapai kejayaan.

“Sebenarnya saya sangat terharu apabila menerima jemputan untuk menyertai program seperti ini.

“Saya tidaklah mempunyai ilmu luar biasa atau menganggap diri hebat. Namun apabila diberi peluang, niat dan matlamat hidup saya adalah mahu membantu seramai mungkin orang supaya menjadi lebih berjaya serta menjalani kehidupan lebih baik.

“Datanglah beramai-ramai untuk mendengar perkongsian saya. Mudah-mudahan apa yang dikongsikan nanti memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Dalam masa sama, pelakon drama Cili Padi itu memaklumkan sesi perkongsian mereka dijangka berlangsung antara satu hingga dua jam setengah selain diserikan pelbagai aktiviti lain sepanjang program.

“Slot kami mungkin berlangsung sekitar satu hingga dua jam setengah. Selain sesi perkongsian ilmu, pelbagai aktiviti menarik serta reruai pameran turut disediakan sepanjang program berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Hamizan berkata, pengiktirafan sebagai ikon usahawan wanita sebelum ini mendorongnya berkongsi pengalaman jatuh bangun membina empayar perniagaan kepada peserta.

“Alhamdulillah, beberapa tahun lalu saya diberi kepercayaan menerima pengiktirafan sebagai ikon usahawan wanita.

“Mungkin atas pengalaman itu, walaupun tidaklah sehebat mana, saya boleh berkongsi ilmu dan memberi inspirasi kepada usahawan, terutama mereka yang baru mahu memulakan langkah,” jelasnya.

Hamizan turut menyifatkan kolaborasinya bersama Anne sebagai gabungan seimbang kerana masing-masing mempunyai latar belakang berbeza tetapi berkongsi matlamat sama, iaitu memperkasakan wanita.

“Saya suka berkongsi mengenai dunia perniagaan kerana saya sendiri melalui pelbagai fasa sebelum berada di tahap hari ini.

“Anne pula mempunyai kekuatan tersendiri dalam dunia politik dan kemasyarakatan. Apabila kami bergandingan, saya percaya perkongsian nanti akan lebih seimbang serta memberi kefahaman lebih menyeluruh kepada peserta,” ungkapnya.

Program Bidadari Dambaan Syurga 2026 berlangsung secara percuma bermula pukul 8 pagi hingga 4.30 petang sebagai inisiatif kerajaan negeri Pahang bagi memperkasa wanita menerusi pengisian kerohanian, pembangunan emosi serta keusahawanan.

Selain Anne dan Hamizan, program itu turut menampilkan penceramah terkenal seperti Ustazah Yong Lynna James Baven Al-Almaniy serta Ustazah Farhatul Fairuzah yang akan menyampaikan pengisian berkaitan terapi hati, pengukuhan sahsiah diri dan ketahanan emosi. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok