‘Mila berlatih vokal senyap-senyap, terkejut dia hadir uji bakat’

PENERBIT ekskutif juga pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM), Puan Seri Tiara Jacquelina mengakui terkejut apabila anaknya, Mila Mohsin menyertai uji bakat naskhah ikonik tersebut.

Tiara, 58, menjelaskan anaknya sengaja merahsiakan perkara tersebut kerana menyedari akan meletakkan ibunya dalam posisi serba salah untuk membuat penilaian secara profesional.

“Mila nak pergi uji bakat dia tak berani nak cakap dengan saya sebab dia tahu saya akan susah dan berbelah bahagi. Anak sendiri susah kita nak menghakimi.

“Tapi nasib baik ada panel ramai yang membuat keputusan.

Mila berlatih vokal berbulan-bulan tak cakap dengan kami. Tiba-tiba saya tengok nama dia dalam senarai.

“Saya pun terkejut bila dia daftar untuk uji bakat,” katanya kepada HibGlam usai konsert keenam Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), malam tadi.

Menjelaskan mengenai dakwaan calon pelakon sebenarnya ditetapkan lebih awal, bintang filem Ringgit Kasorga itu menegaskan komitmennya bersikap adil kepada semua bakat baharu yang sanggup hadirkan diri ke uji bakat.

“Saya pun tak akan buang masa berhari-hari duduk menghadap beratus orang yang datang uji bakat.

Saya sendiri arahkan supaya uji bakat dibuat sebab nak beri peluang kepada semua yang hadir,” ujarnya.

Dalam masa sama, Tiara turut mengakui tanggungjawab untuk menggalas watak utama bukan mudah kerana menuntut pengorbanan fizikal dan mental yang luar biasa daripada pelakon.

Nak cari puteri bukan mudah. Saya nak jadi puteri pun betapa azabnya saya kena berlatih, nak kena biasakan diri dengan budaya Jawa.

“Jadi alang-alang nak buat saya nak latih dua orang sekali gus,” ujarnya.

Sebelum ini, pemilihan Mila Mohsin dan penyanyi, Aisha Retno sebagai teraju utama bagi mementasan PGLM telah menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Malah, terdapat segelintir pihak mendakwa kononnya pemilihan Mila adalah disebabkan faktor ‘kabel’ ibunya yang menerajui naskhah berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok