PENTAS seni tempatan bergema penuh prestij apabila dua produksi, Fragments of Tuah terbitan Five Arts dan Setanggi Tari Melayu 2025: Quintessential Malay Day oleh ASK Dance Company dinobatkan sebagai pemenang utama kategori Presentation of Best of 2025, BOH Cameronian Arts Awards ke-21 (21BCAA), malam tadi.
Kemenangan tersebut menewaskan empat karya lain iaitu A Salute to Cinema oleh Tutan Entertainment, Animal Farm (Pentas Project & W Productions), TEWAS: No Light at the End of the Tunnel (JDEV Studios) serta Visits terbitan Dramalab menampilkan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Nadia Aqilah dan Sofia Jane.
Meskipun Visits tidak meraih kemenangan utama, pelakonnya Nabila Huda tetap mencuri tumpuan apabila membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Terbaik bagi kategori teater muzikal (Masmoona) menundukkan calon lain seperti Cheryl Lee, Kayrol Marknannn, Kimberly Chan, Nabil Zahan dan Wee Shyre May.
“Sejujurnya saya memang tidak sangka. Saya masih baru dalam dunia teater dan sangat menghormati mereka. Setiap kali bersama, saya kagum dengan bakat mereka.
Saya selalu rasa diri ini kecil kerana kemampuan mereka menyanyi dan menari jauh lebih hebat. Bila lihat senarai pencalonan tadi, saya rasa persembahan saya sangat jauh ketinggalan.
“Apabila nama diumumkan, saya masih tertanya-tanya, layakkah saya memegang anugerah ini? Namun mungkin penilaian juri berbeza. Apa pun, saya sangat bersyukur,” katanya kepada HibGlam.
Malam gemilang tersebut berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre, menyatukan komuniti seni persembahan tanah air dalam meraikan kecemerlangan sepanjang tahun lalu.
Dipersembahkan BOH Plantations dan Kakiseni, edisi ke-21 membawa tema COLLABeyond: Co-create the Future, menggambarkan landskap seni moden semakin berkembang melalui kolaborasi merentas disiplin, budaya serta teknologi.
Sebanyak 44 produksi dicalonkan merangkumi 10 kategori tarian, lapan teater muzikal, sembilan muzik dan 17 teater, sekali gus membuktikan kepelbagaian serta kematangan industri seni persembahan tempatan.
Anugerah tersebut bukan hanya meraikan kemenangan, malah menjadi cerminan perubahan landskap kreatif negara apabila penggiat seni semakin berani meneroka gabungan seni tradisional dan teknologi moden. – HIBGLAM
