Vokal berubah, ‘kalau mahu kecam biar logik’ – Aishah

SERING dibandingkan dengan keupayaan vokal ketika zaman muda, penyanyi Datuk Aishah menyifatkan kritikan segelintir pihak sebagai tidak realistik dan kurang berasas.

Ujar Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 61, segelintir individu terlalu mudah mengkritik tanpa memahami realiti perubahan suara seiring peningkatan usia.

“Kadang-kadang orang terlalu kritikal tentang nyanyian saya. Semua pun mahu jadi jurulatih vokal, konon paling tahu tentang teknik nyanyian.

“Macam beli kereta, awal-awal memang laju. Bila sudah lama, enjin tentu tidak sama seperti dulu. Hakikatnya, yang muda pun belum tentu mampu menyanyikan lagu saya.

“Kalau mahu mengecam, biarlah logik. Janganlah kutuk orang berusia 61 tahun,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Janji Manismu itu, perubahan suara merupakan perkara normal dialami setiap penyanyi dan tidak boleh dielakkan.

“Secara realistik, tanyalah mana-mana guru vokal, suara memang akan berubah. Kita tak boleh jangka suara 40 tahun dahulu kekal sama sampai sekarang.

“Namun pada usia sekarang, saya ada kematangan dan penghayatan lebih mendalam. Itu kelebihan yang saya tidak miliki ketika muda.

“Contohnya lagu wajah, penghayatan saya kini jauh berbeza berbanding ketika usia 20-an. Rasa dan jiwa itu lebih sampai,” ujarnya pada sidang media konsert Aishah 40 Chapters Of Love, di sini, semalam.

Paling penting kata Aishah, dia berharap peminat mampu melihat perubahan tersebut dari sudut lebih matang, bukan sekadar membandingkan kekuatan vokal semata-mata.

“Pada awalnya saya terasa juga apabila dikritik. Tetapi bila difikirkan semula, memang tidak masuk akal untuk bandingkan suara dahulu dengan sekarang.

“Saya harap peminat boleh menerima dan menghargai perbezaan ini. Namun jika ada teguran membina, saya tetap terbuka untuk terima,” jelasnya.

Terdahulu, timbul perdebatan dalam kalangan netizen apabila mutu nyanyian Aishah dikatakan tidak lagi sehebat dahulu, termasuk gagal mencapai nada tinggi serta mengekalkan ‘sustain’ seperti era kemuncaknya.

Malah, ada pihak melontarkan cadangan agar penyanyi berpengalaman itu mengundurkan diri daripada dunia nyanyian, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok