‘Kalau diam mungkin saya penat, bukan sombong’

SELEPAS  kecoh pelakon Mira Filzah dicop sombong, kini dakwaan serupa beralih pula kepada pelakon, Ezzanie Jasny.

Menepis tuduhan yang dirasakan tidak berasas tersebut, pemilik nama sebenar Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 26, itu berkata, sepanjang bergelar anak seni, dia sentiasa membalas sapaan peminat selain tidak pernah menolak permintaan untuk bergambar walau di mana sahaja berada.

Saya sombong? Selama saya dalam industri ni, saya tak pernah ‘say no’ (kata tidak) bila orang ajak bergambar atau bersembang dengan saya.

“Saya juga manusia biasa macam kalian. ‘We do go through some days like a rollercoaster’ (kami juga lalui hari seperti rollercoaster),” kongsinya dalam Threads.

Pada masa sama, Ezzanie menjelaskan sikapnya yang kadangkala pendiam bukan disebabkan sombong, sebaliknya mungkin kerana keletihan.

Kadang-kadang kalau nampak saya diam atau tak banyak bercakap, mungkin saya penat atau tengah fokus. Bukan sombong,” jelasnya lagi.

Pelakon drama Layang Layang Perkahwinan itu juga tidak ketinggalan memohon maaf andai berlaku salah faham malah turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan ramai.

Saya sentiasa hargai semua yang datang tegur dan sokong saya. Kalau ada tersalah faham, saya minta maaf ya,” ujarnya.

Terdahulu, tular hantaran seorang pengguna Threads yang memetik beberapa nama artis termasuk Ezzanie sebagai selebriti sombong. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok