Muzik itu minat, ijazah untuk masa depan – Wani Kayrie

NAMA semakin meniti di bibir peminat, apatah lagi selepas lagu Cak Cak Cekuk mencetus fenomena tersendiri, penyanyi muda Wani Kayrie terus melangkah penuh yakin dalam dunia seni.

Dalam usia masih muda, dia bukan hanya menjual suara, malah membina jenama diri dengan disiplin dan prinsip teguh.

Bagi gadis berusia 26 tahun itu, menjadi anak seni bukan tiket mudah, sebaliknya perjalanan panjang menuntut kesabaran, pengorbanan dan kebijaksanaan membuat pilihan.

Namun, dalam keghairahan mengejar impian, tidak kurang juga suara sumbang mempersoalkan tindakannya memilih dunia hiburan.

Lebih-lebih lagi apabila diketahui dia memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Perdagangan, bidang sering dianggap lebih stabil untuk masa depan berbanding dunia seni.

Tenang menjawab persoalan tersebut, pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah itu menegaskan minat terhadap seni sudah berakar sejak kecil, namun pendidikan tetap menjadi keutamaan dalam hidupnya.

“Pertama sekali, dunia hiburan ini memang minat saya sejak kecil. Ibu saya sentiasa berpesan, walau setinggi mana pun saya mahu menjadi penyanyi, pelajaran jangan pernah ditinggalkan.

“Saya juga anak sulung, jadi saya perlu ada sesuatu sebagai sandaran masa depan. Kita tidak tahu apa akan berlaku kerana setiap tahun akan muncul penyanyi baharu.

“Sebab itu saya anggap pendidikan sebagai senjata untuk masa depan dan tidak salah kalau saya ada dua-dua, karier dan pelajaran,” katanya kepada HibGlam.

Tambah bekas peserta Big Stage musim pertama itu lagi, meskipun memiliki kelayakan akademik, hatinya tetap memilih muzik sebagai jalan utama buat masa ini.

“Bagi saya, minat perlu didahulukan. Pendidikan pula akan saya teruskan apabila saya benar-benar bersedia.

“Mungkin satu hari nanti saya akan sambung ke peringkat sarjana atau doktor falsafah, tetapi biarlah pada waktu sesuai,” ujarnya.

Mengulas mengenai fenomena anak muda yang malas belajar kerana ingin menjadi pempengaruh, Wani berpendapat matlamat itu sangat salah dan tidak wajar menjadi ikutan.

Tegasnya, pelajaran adalah senjata untuk mencorak keperibadian seseorang, baik dari segi percakapan mahupun perlakuan.

“Setiap individu ada tujuan dan cara masing-masing untuk mencari rezeki tapi kalau enggan belajar kerana semata-mata mahu jadi pempengaruh, itu sangat salah.

“Pelajaran sangat penting dalam apa jua keadaan.

“Bagi saya sebagai anak muda, kita perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dikongsikan, kalau tiada ilmu sebagai asas, sejauh mana jaminan kandungan yang kita kongsi itu akan bermanfaat?

“Macam saya sendiri, sebelum memuat naik sesuatu, saya akan fikir sama ada kandungan itu memberi mesej baik atau sebaliknya.

“Baik selebriti mahupun pempengaruh, kita semua menggalas tanggungjawab mendidik masyarakat dengan benda baik,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok