AKRAB dengan arwah bapa, pelakon Erysha Emyra merupakan anak manja apabila masih makan bersuap biarpun sudah mencecah usia 26 tahun.
Perkara tersebut dikongsikan ibunya, Datin Seri Noniswara yang mendedahkan puteri kesayangannya itu tetap dilayan seluruh anggota keluarga seperti anak kecil.
“Video ini diambil ketika berada di hospital. Dia langsung tiada selera makan dan saya paksa dia makan.
Sejak kecil hingga sekarang, kalau makan memang selalu perlu disuap oleh daddy, mummy atau abangnya.
“Itulah Erysha, selamanya manja dan sentiasa menjadi anak kecil kesayangan kami,” katanya dalam hantaran di Instagram Story.
Noniswara yang juga pelakon berkongsi momen sedang menyuap Erysha ketika menemani bapanya, Allahyarham Datuk Zakaria Abdul Rahman di hospital.
Erysha pada waktu itu kurang sihat sehingga tidak mempunyai selera untuk menjamah makanan.
Video dikongsikan Noniswara membuatkan netizen tersentuh kerana pasti pelakon drama Cinta Untuk Sekali Lagi itu merindui bapanya.
Terdahulu, bapanya yang berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital meninggal dunia pada 29 Mei lalu. – HIBGLAM
