TERUS melakar sejarah, penyanyi antarabangsa, Lady Gaga membuktikan dirinya sebagai ikon muzik global apabila mencatat rekod baharu sebagai artis wanita dengan mengadakan persembahan terbesar di dunia.
Lebih 2.5 juta peminat membanjiri Pantai Copacabana di Rio de Janeiro, Brazil bagi menyaksikan konsert percuma Gaga atau nama sebenarnya Stefani Joanne Angelina Germanotta, yang berlangsung penuh gilang-gemilang, semalam.
Memetik laporan media Brazil, The Mother Monster, memulakan konsert sekitar pukul 10.10 malam waktu tempatan dengan lagu hits tahun 2011 berjudul Bloody Mary.
“Malam ini, kita mencipta sejarah. Terima kasih kerana mencipta sejarah bersama saya,” kata Gaga kepada lautan peminat yang menjerit teruja di ibu kota Brazil.
Konsert tersebut turut menyaksikan Gaga mempersembahkan lagu-lagu klasik seperti Poker Face dan Alejandro, sambil tampil dengan pelbagai busana, termasuk gaun berinspirasikan warna bendera Brazil yang mencuri tumpuan lensa kamera.
Sorakan kegembiraan bergema daripada ribuan peminat memenuhi kawasan pantai sambil menyanyi dan menari bersama-sama di kawasan pasir yang luas.
Dengan kejayaan luar biasa ini, Gaga bukan sahaja mengukir nama sebagai legenda pop moden, malah membuktikan kekuatan pengaruhnya di pentas global.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Rio menjangkakan sekitar 1.6 juta orang akan hadir, dan acara itu mampu menjana lebih 600 juta reais (sekitar £79.5 juta) kepada ekonomi tempatan.
Difahamkan, konsert seumpama ini akan dianjurkan setiap tahun pada bulan Mei sehingga 2028.
Gaga tiba di Rio pada awal pagi Selasa lalu, dan sejak itu seluruh bandar diselubungi fenomena ‘Gaga-mania’, menandakan kemunculan semula bintang pop itu di Brazil selepas kali terakhir tampil pada 2012. – HIBGLAM