PERTARUNGAN Fury Championship yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur menyaksikan pelakon Ikmal Amry berjaya menewaskan lawannya iaitu sahabat sendiri, Hun Haqeem pada pusingan pertama.
Asakan demi asakan Ikmal menyebabkan Hun mengalami kecederaan di bahagian lutut dan muka sehingga berdarah.
Hun akhirnya tumbang dan kemenangan berpihak kepada Ikmal.
Selepas pemenang diumumkan, Hun mengakui mengalami kecederaan di lutut apabila bahagian itu meletup. Dia sebelum ini pernah menjalani pembedahan di bahagian lutut akibat kecederaan ACL.
Saya mohon maaf kerana tidak berjaya memenangi perlawanan malam ini. Saya telah berusaha sehabis baik. Insya-Allah saya akan kembali dengan lebih kuat selepas ini dan akan tetapkan perlawanan semula,” katanya.
Selepas tamat pertarungan, Hun dilihat dipapah ke bilik persalinan sambil menangis.
Sementara itu Ikmal sewaktu ditemui usai perlawanan kelihatan serba salah untuk bertarung dengan rakan baiknya sendiri.
“Sejujurnya saya berat hati nak lawan dengan Hun. Saya lebih rela kalau lawan saya bukan rakan selebriti. Lebih mudah untuk saya ‘all out’.
Saya rasa kasihan kepada Hun. Saya tak sangka sampai begitu sekali kecederaan yang dialami. Selepas tumbukan pertama dia berdarah. Ketika itu saya sudah mula rasa simpati kepadanya.
“Saya tak tahu apa nak buat. Tetapi jurulatih saya minta agar saya kekal tenang dan fokus.
“Tetapi apa yang berlaku adalah adat resam pertandingan di dalam gelanggang. Saya harap Hun dapat pulih segera yang mungkin dan kembali lebih kuat,” ujarnya.
Ditanya adakah dia akan kembali bertarung dengan sahabatnya itu, Ikmal berat hati mengenangkan kecederaan yang dialami Hun.
Mungkin tidak dalam waktu terdekat. Sekurang-kurangnya biarlah dia pulih sepenuhnya. Walaupun dia minta untuk ‘rematch’, tetapi saya tak rasa saya mahu berlawan dengan Hun lagi,” katanya.
Fury Championship adalah sebuah acara pertarungan tinju dan muay Thai yang disertai 18 peserta, termasuklah dalam kalangan selebriti dan atlet profesional dari Malaysia dan Indonesia. – HIBGLAM