Kongsi kegembiraan, Nabila Huda pindah rumah baharu

BAKAL beraya di rumah baharu selepas 12 tahun menetap di kondominium, pelakon Nabila Huda terbuka hati berpindah ke hartanah jenis teres di kawasan berhampiran kediaman lama.

Nabila atau nama lengkapnya, Nabila Huda Suhaimi, 40, berkata tidak pernah terbayang dalam fikirannya untuk mengubah angin tinggal di perumahan atas tanah.

“Masih lagi tak percaya selepas 12 tahun tinggal di kondominium, akhirnya saya pindah. Saya tak pernah terfikir atau berniat duduk ‘landed house’.

“Mungkin dah terbiasa dan selesa tinggal di kondominium. Saya suka rumah kecil sahaja. Kondominium ringkas.

“Tahun lepas tiba-tiba rasa macam seronok duduk rumah bawah. Kita tak cari sangat atau mengharap tapi tiba-tiba ada rezeki pula,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.

Menerusi hantaran tersebut, ibu kepada seorang anak itu turut menunjukkan video proses pemindahan barang menggunakan khidmat profesional.

Menurutnya, hati mula tergerak untuk mencari rumah teres sekitar tahun lalu tetapi enggan meletakkan harapan tinggi mendapat reka bentuk serta lokasi diingini.

Begitupun, selepas beberapa bulan dia tidak menyangka menemui sebuah kediaman bertepatan dengan cita rasanya.

“Tiba-tiba tahun lepas rasa macam seronok juga duduk di rumah teres tapi saya nak kawasan sama (kondominium asal).

“Kita tak cari sangat atau berharap tapi tiba-tiba ada rezeki pula. Rumah saya kecil saja tapi kira naik taraf dari kondo.

“Saya menyukai rumah ini kerana binaannya ‘old school’,” tuturnya.

Menurut aktres versatil juga pengacara itu, dia bersama anak dan suaminya sudah menetap di ‘syurga’ baharu mereka selepas melakui fasa penuh cabaran iaitu membungkus dan memindahkan barang.

“Selepas itu nak pindah, ini paling parah dan leceh adalah nak bungkus semua.

“Dengan jadual saya yang memang tiada peluang untuk bernafas tetapi nasib baik saya dapatkan perkhidmatan memindah barang,” ujarnya.

Terdahulu, sejak awal bulan ini Nabila berkongsi proses perpindahan termasuk ketika menerima kunci rumah serta mengemas kini keadaan kediaman dan memasang peralatan dapur idaman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok