Yoon-su hadiahkan bapa buah pinggang

BERKORBAN demi orang tersayang, tindakan pelakon Nam Yoon-su mendermakan buah pinggang kepada bapanya meraih pujian orang ramai.

Menurut sebuah laporan, aktor berusia 27 tahun itu telah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada 19 Jun lalu.

Dua beranak itu dikatakan telah keluar dari hospital dan difahamkan keadaan mereka semakin pulih.

Pelakon drama Extracurricular juga berehat daripada kerjayanya sejak awal tahun lagi sebagai persediaan sebelum mendermakan buah pinggang kepada bapa tercinta.

Pada awalnya dia enggan menghebohkan  perkara tersebut, namun setelah mendapat nasihat daripada pihak hospital, perkara itu didedahkan atas tujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pendermaan organ.

Rata-rata peminat kagum melihat keberanian dan kasih sayang yang ditunjukkan idola pujaan mereka itu dan menyifatkannya sebagai anak dari syurga.

“Bagusnya Yoon-su, tidak semua anak mahu menderma organ walaupun kepada ahli keluarga sendiri, syabas!,” komen netizen itu. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok