Menangkis fitnah ‘makan’ hasil keringat adiknya, kakak kepada Youtuber Muhammad Asyiff Suhaimi, Siti Nur Atina mempunyai alasan kukuh hanya memasukkan separuh bayaran daripada Syahmi Sazli Production ke akaun ayah mereka.
Kata wanita berusia 34 tahun itu, sikap ayah mereka yang menggunakan duit Asif untuk perkara tidak elok membuatkannya memasukkan RM4,000 saja berbanding keseluruhan bayaran berjumlah RM7,000
“Betul, Syahmi ada buat bayaran RM7,000 dan saya ‘bank in’ hanya RM4,000d pada abah (ayah) dan baki RM3,000 lagi untuk simpanan beli makanan, keperluan dan pakaian untuk kerja Asif.
“Kenapa tak bagi semua? Kalau tanya jiran sekeliling, anak beranak, sepupu sepapat, semua tahu abah ini macam mana. Syahmi (YouTuber) dan Nissa (isteri Syahmi) pun ada nasihat suruh menyimpan untuk Asif.
“Sebab tahu kalau bagi Suhaimi (ayah) semua memang tak nampak hasil. Dia pening dengan kuda dalam bilik dok main ‘spin’ sampai tahap Asif mengadu ‘along, abah keceh kudo dalam bilik kito depe kito’ (abah main kuda dalam bilik depan mata kita),” dakwanya menerusi Facebook.
Menurutnya lagi, dia mempunyai bukti terhadap semua dakwaan berhubung tindakan Suhaimi menggunakan wang hasil kerja Asif, 20, dengan perkara membabitkan kegiatan perjudian dalam talian.
“Aku simpan video, aku rekod senyap-senyap masa Asif mengadu dan Asif mengadu bukan sekali bukan dua kali, tapi berpuluh kali,” luahnya lagi berkaitan isu adiknya yang mesra disapa Asif itu.
Pendedahan tersebut dikatakan terpaksa dibuat Siti Nur Anita di Facebook selepas dituduh mengambil wang adiknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) autisme, sebanyak RM3,000, sekaligus sebagai usaha membersihkan nama.
Ujarnya lagi, dia sudah tidak mampu menahan sabar selepas bertahun-tahun menyimpan aib bapa sendiri, namun terpaksa membuka cerita selepas difitnah berulang kali.
Malah, wanita yang mempunyai perniagaan sendiri itu juga tidak peduli sama ada orang mempercayai dakwaannya atau tidak, selain menegaskan ini kali pertama dan terakhir menceritakan perihal sikap bapa mereka.
Terdahulu, Asif yang menyerlah menerusi filem Mael Totey The Movie menggenggam trofi Artis Komedi Popular Anugerah Bintang Popular (ABPBH) pada 2020. – HIBGLAM