Nak jadi Dr. Malini kena ada ‘jawline’ – Shweta Sekhon

TERLIBAT dalam pembikinan karya ikonik Keluang Man, jelitawan Shweta Sekhon berharap dapat membuka mata khalayak terhadap kewujudannya dalam industri hiburan.

Dek kerana itu, Shweta, 27, berusaha memberikan yang terbaik bagi memastikan filem arahan Anwari Ashraf Hashim dapat memberikan kepuasan kepada penonton.

Bercerita mengenai watak, Shweta berkata, dia perlu menurunkan berat badan bagi ‘menghidupkan’ Dr. Malini.

Selain melakukan banyak penyelidikan untuk penghayatan watak , dia turut menonton animasi ikonik berkenaan sebagai rujukan.

Sekaub Shweta, filem Keluang Man turut dibintangi Nas-T, Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor dan Anwaar Beg Moghal.

HIGBLAM: Bagaimanakah reaksi anda apabila ditawarkan membintangi filem Keluang Man?

SHWETA SEKHON: Sebelum terlibat dalam pembikinan filem ini, saya perlu menghadiri beberapa sesi uji bakat. Tidak dinafikan setiap uji bakat memberikan cabaran tersendiri.

Proses penggambaran sangat menarik, manakala sokongan daripada barisan pelakon dan pengarah juga banyak membantu.

Apabila saya diterima, pihak produksi meminta saya menurunkan berat badan agar nampak jawline (garis rahang). Saya berjaya menurunkan berat badan sekitar lima hingga enam kilogram dalam tempoh dua bulan.

Apakah cabaran menjadi Dr. Malini?

Saya perlu mengawal ekspresi wajah Dr. Malini agar tidak kelihatan terlalu ketara kerana dia mengetahui  Borhan itu  Keluang Man. Saya juga banyak membaca dan mengkaji tentang gangguan bipolar kerana watak Borhan ada masalah kesihatan mental.

Watak pakar psiakiatri juga berbeza dengan doktor am. Dia perlu perlu kelihatan tenang dan banyak bersabar, jadi untuk mendapatkan ketenangan itu saya banyak melakukan yoga.

DEMI menghidupkan watak Dr. Malini, Shweta perlu menurunkan berat badan sebanyak lima hingga enam kilogram dalam tempoh dua bulan.

Adakah anda tertekan membawakan watak Dr. Malini?

Watak ini berdasarkan komik dan animasi, jadi saya ada menonton beberapa episod siri animasi untuk mengetahui karakter Dr. Malini.

Tekanannya mungkin lebih kepada penerimaan penonton terhadap Keluang Man yang diangkat daripada animasi kepada sebuah fiksyen di layar lebar.

Bagi mengatasi kegelisahan itu pengarah filem ini banyak bantu saya selain melakukan kajian sendiri bagi menghidupkan watak Dr. Malini agar penonton bukan sahaja dapat melihat karakter tersebut tetapi nampak kesungguhan saya juga.

Saya sendiri tidak tidak sabar untuk menyaksikan hasil filem ini di layar perak.

Boleh kongsi filem manakah yang menjadi rujukan anda untuk membawakan watak tersebut?

Saya ada menonton filem Cicakman. Sebaik sahaja terima tawaran, filem pertama yang terlintas dalam fikiran adalah Cicakman. Kemudian saya ada menonton beberapa filem antarabangsa.

Tujuan saya hanya untuk menjadikannya sebagai rujukan untuk membawakan watak yang memperkasakan wanita. Selain itu, drama Melayu turut menjadi rujukan saya dalam mempelajari lontaran dialog dan suara dan sedikit melibatkan adegan aksi.

Dalam filem ini nanti saya turut bertutur dalam bahasa Punjabi.

Bagaimana pula keserasian anda dengan pelakon lain?

Biarpun ini pertama kali saya berlakon dengan Nas-T, tetapi pertama kali kami berjumpa, saya dan dia terus serasi. Kami seperti kawan baik yang sudah 10 tahun tidak bertemu.

Sangat mudah dan selesa berlakon dengan semua pelakon. Diharapkan penonton juga dapat melihat keserasian kami itu.

Adakah anda ada menghadiri sebarang kelas untuk meningkatkan skil lakonan?

Ya. Saya ada menghadiri beberapa kelas lakonan tetapi buat masa ini identiti guru lakonan saya biarlah dirahsiakan dahulu.

Pada masa sama, saya juga perlu banyak bergaul dengan rakan-rakan Melayu agar lebih fasih bertutur bahasa Melayu kerana kadangkala sebutan saya sedikit baku dan berbeza dengan sebutan serta gaya percakapan harian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok