Adam jujur, tak menggatal di set penggambaran – Sweet Qismina

PELAKON Sweet Qismina meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap suaminya yang juga aktor , Adam Lee tidak akan terpalit dengan kontroversi cinta lokasi.

Sweet atau nama lengkapnya Farhanna Qismina Supandi ketika ditemui HibGlam baru-baru ini berkata, dia sudah lama mengenali Adam dan tahu sikap suaminya itu di lokasi penggambaran.

“Saya mengenali suami ketika kami belum bercinta lagi. Kami kenal pun di lokasi penggambaran.

“Jadi saya tahu karakter dia bagaimana. Mengenali Adam, dia seorang yang sangat fokus ketika kerja. Dapat sahaja skrip, dia akan buat ‘homework’. Itu sahaja,” ujarnya.

Tambah pelakon berusia 26 tahun itu, dia bersyukur kerana suaminya juga bersikap jujur dan akan memaklumkan aktivitinya setiap hari.

“Apa-apa pun saya bersyukur Adam jujur orangnya. Setiap hari dia akan beritahu saya aktivitinya dan apa yang berlaku.

“Untungnya, pengurus kami adalah ibu saya sendiri. Jadi, bila masing-masing buat hal, ibu akan tahu dahulu.

“Sebab itu saya percayakan suami dan tidak pernah terfikir dia akan buat perangai menggatal di set penggambaran,” kata Sweet selepas majlis sidang media drama Misi 123 baru-baru ini.

Sementara itu, Adam, 28, berkata, dia sedaya upaya menjaga nama baik keluarga dengan mengelak melakukan perkara tidak sepatutnya.

“Saya cuba jaga nama  keluarga sebaik mungkin. Saya dengan dunia saya sahaja. Main sukan Muay Thai, bersenam dan berlakon,” katanya.

Pada masa sama, pelakon siri Budak Tebing itu mengakui tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau sekatan untuk Sweet berkarya namun berharap belahan jiwanya itu menjaga statusnya sebagai isteri.

“Untuk isteri pula, saya tidak meletakkan sebarang sekatan. Perkara ini kami sudah bincang sebelum berkahwin lagi.

“Tak ada masalah pun sebab isteri pun tahu menjaga batas,” katanya.

Untuk rekod, selepas tiga tahun bercinta, Sweet dan Adam mendirikan rumah tangga pada 24 Oktober 2022. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok