Khai Bahar tumpang tuah lagu Pano

LAGU balada berjudul Pano yang dipopularkan oleh penyanyi asal dari Filipina, Zack Tabudlo mencipta sensasi luar biasa dalam platfom penstriman seperti Spotify.

Lebih mengagumkan, karya berkenaan berjaya debut di tangga pertama dalam carta Lagu Filipina yang dilancarkan oleh Billboard sekitar Februari lalu.

Lagu yang mencipta fenomena bukan hanya di Filipina bahkan seantero benua Asia, termasuk Malaysia tersebut kini diterbitkan dalam versi bahasa Melayu.

Menariknya, penyanyi popular bersuara gemersik, Khai Bahar diberi kepercayaan menyanyikan lagu tersebut dengan diberi judul Bagaimana yang mendapat sentuhan penerbit muzik tersohor, Johan John.

Sebagai pencinta muzik balada, Khai, 29, menganggap peluang terbentang di depan mata sebagai satu bentuk bonus buat dirinya.

SEPERTI lagu asalnya yang mendapat sambutan luar biasa, Khai juga mengharapkan perkara sama diberikan untuk Bagaimana.

“Keindahan lagu Pano terletak pada iramanya yang cukup mendayu. Maka tidak hairanlah andai lagu ini amat popular sehingga mendapat tontonan lebih 104 juta dalam YouTube walaupun berbahasa Tagalog. Cukup mengagumkan.

“Saya sangat gembira apabila ditawarkan Universal Music Malaysia untuk bekerjasama dalam projek lagu Bagaimana.

“Ini satu peluang keemasan untuk saya galas sebaiknya demi pastikan versi Melayunya sehebat lagu asal,” kata Khai.

Sudah mesra dengan lagu itu sendiri turut menjadi kelebihan buat penyanyi asal Perlis itu ketika menjalani proses rakaman, bahkan dengan bimbingan serta tunjuk ajar Johan, dia berjaya melunaskan tugas tersebut dalam tempoh cukup singkat.

Bagaimanapun, Khai atau lengkapnya Muhammad Khairul Baharuddin enggan dibayangi penyanyi asal lagu Pano.

Justeru, besar harapannya agar Bagaimana dapat dinikmati pendengar tempatan sebagaimana lagu Pano mendapat sambutan meluas di beberapa buah negara.

Serasi

Dalam pada itu, bercakap mengenai pembikinan video muzik lirik, Khai gembira kerana konsep ditampilkan cukup ringkas tanpa perlu elemen dramatik.

Bahkan lokasi yang dipilih juga sangat memudahkan iaitu di kedai buku BookXcess Sunsuria Forum, Shah Alam, Selangor.

KHAI teruja kerana diberi kepercayaan menyanyikan lagu Pano yang merupakan genre kesukaannya iaitu balada dalam versi bahasa Melayu.

“Konsep ringkas dan menarik dalam video muzik lirik memang tak pernah saya buat sebelum ini. Proses menyiapkan juga berjalan lancar iaitu dalam masa kurang empat jam sahaja,” kongsi Khai.

Selain itu, jalinan kerjasama bersama Johan turut diakui Khai sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan biarpun ini merupakan kali pertama mereka berkolaborasi.

Corak kerja profesional yang ditonjolkan Johan sepanjang bekerjasama menjadi nilai tambah sehingga segala proses berjalan dengan sangat mudah.

“Penting untuk mendapatkan keserasian yang kuat setiap kali terbabit dalam sesuatu projek,” ujarnya.

Bagaimana boleh didengari menerusi semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, sementara video muziknya pula dalam YouTube Universal Music Malaysia.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok