Selebriti K-pop lawa sebab bedah muka

BAGAI hidup dalam ‘dunia kepalsuan’, jangan disangka wajah cantik, mata bundar, hidung mancung dan pipi bak pauh dilayang yang dimiliki majoriti selebriti Korea Selatan itu semuanya asli dan memang asalnya begitu.

Kadang-kadang setelah diselidiki netizen, wajah yang dipuja-puja rupanya sudah ‘dibaiki’ dan ditambah baik melalui pembedahan plastik.

Meskipun sudah terang lagi bersuluh, kecantikan diperolehi hasil pembedahan plastik bukanlah kejelitaan semula jadi, namun jika itu sahaja cara yang boleh menambahkan keyakinan diri seseorang individu, tepuk dada tanyalah selera.

Sehubungan itu, Daebak menyenaraikan beberapa orang selebriti tanpa segan silu mengakui secara terbuka telah menjalani pembedahan plastik demi penampilan yang lebih meyakinkan.

Kyuhyun

KYUHYUN

Anggota termuda kumpulan Super Junior, Kyuhyun merupakan salah seorang selebriti yang tanpa segan silu mengakui telah melakukan pembedahan plastik.

Menariknya, ramai orang terpukau dengan hasil pembedahan plastik yang dilakukan jejaka tampan itu kerana wajahnya kelihatan sangat semula jadi seperti tidak pernah menjalani sebarang pembedahan.
Dalam satu temu bual, dia mendedahkan pernah melakukan pembedahan pada bahagian kelopak mata untuk kelihatan lebih tampan dan sesuai dengan piawaian kecantikan orang Korea.

Alasannya mudah iaitu untuk tampil lebih yakin berdepan khalayak.

Park Min-young

PARK MIN-YOUNG

Park Min-young adalah antara selebriti yang boleh dikatakan bertuah kerana setiap pembedahan plastik yang dilakukannya berjaya membuatkan dirinya kelihatan jelita.

Entah muka siapa menjadi rujukan, namun dia adalah antara artis yang berjaya mendapat wajah cantik dan segala operasi yang dilakukan terhadap wajahnya dianggap sukses.

Jika pelakon tinggi lampai itu tidak mengakui dirinya melakukan pembedahan plastik, barangkali tiada siapa akan tahu mengenai hakikat itu kerana wajahnya kelihatan sangat polos dan natural.

Enggan munafik, Min-young tidak pernah berselindung tentang apa yang dilakukannya malah mengakui telah menjalani beberapa siri pembedahan plastik untuk mengubah kelopak mata, hidung dan juga beberapa bahagian lain pada wajahnya.

Park-bom

PARK-BOM

Berusia hampir mencecah 40 tahun, Park-bom antara selebriti yang taksub melakukan pembedahan kosmetik sehingga sanggup menawarkan diri menjadi ‘bahan eksperimen’ apabila terdapat pakar estetik menemukan rawatan wajah terbaharu.

Keghairahan penyanyi putih gebu itu melakukan pembedahan kosmetik menimbulkan perdebatan dalam kalangan peminatnya.

Ada yang lebih menganggap Park Bom kelihatan lebih comel dengan wajah baharunya.

Ada juga yang merasakan Park Bom lebih cantik sebelum melakukan pembedahan kosmetik dan tak kurang juga risau dengan ketaksubannya terhadap dunia kecantikan yang tidak berkesudahan.

Park-bom mengakui menjalani dua pembedahan hidung termasuk menambah kelopak mata agar kelihatan lebih besar, pembentukan semula wajah dan suntikan pada bibir serta membuat pembedahan implan payudara.

Jessi

JESSI

Siapa tidak kenal dengan figura bernama Jessi, kelantangan penyanyi itu dalam menyuarakan isi hatinya selalu membuatkan ramai ‘cair’ dengannya.

Penyanyi kecil molek itu juga pernah mendedahkan dirinya menjalani pembedahan plastik untuk membesarkan payudara dan mengakui tidak tersinggung apabila ramai mendakwa anggota badannya itu adalah palsu.

Selain payudara, Jessi juga mengaku pernah melakukan pembedahan kelopak mata, bibir dan hidung untuk kelihatan lebih seksi dan menawan.

Jessi berkata, dia membuat keputusan untuk melakukan pembedahan plastik setelah mendapat nasihat daripada agensinya terdahulu agar terlihat lebih menawan ketika sesi penggambaran.

Pernah terbit rasa menyesal dek perbuatan tersebut, namun seiring waktu bergulir, dia menyifatkan semua yang berlaku sebagai pengajaran hidup.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok