Bella Dally tauke rumah produksi

LAMA wajah cantiknya tidak menghiasi drama, siapa sangka dalam diam Bella Dally sudah bergelar penerbit dengan menubuhkan rumah produksi, Ariz Media Entertainment Sdn. Bhd. sejak dua tahun lalu.

Kata pemilik nama sebenar Nabilah Ali Dally, 32, dia memilih untuk mengusahakan sebuah rumah produksi kerana merasakan bidang tersebut dekat dengan jiwanya sebagai seorang anak seni.

“Alhamdulillah, produksi saya sudah terbitkan lima drama. Antara sebab saya membuka rumah produksi, kerana saya sendiri berada dalam bidang tersebut (lakonan) selama lebih 10 tahun.

“Kakak ipar saya juga merupakan seorang pembantu pengarah. Jadi saya yakin untuk mengusahakan rumah produksi sendiri,” jelasnya.

Menggalas tanggungjawab besar, anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu berazam memastikan syarikat produksi miliknya tidak menganiaya pelakon atau kru produksi dalam soal bayaran kerja.

Kata Bella, sebagai pelakon, dia juga pernah berdepan dengan masalah kelewatan pembayaran oleh pihak produksi dan faham tentang perasaan itu.

“Saya faham perasaan pelakon dan kru apabila menerima bayaran lewat, sebab saya juga pernah melaluinya.

“Di bawah produksi Ariz Media Entertainment Sdn. Bhd. saya akan pastikan pembayaran gaji kru dan pelakon mengikut jadual yang ditetapkan,” tegas Bella.

Bercakap lebih lanjut, Bella mahu rumah produksinya memiliki identiti tersendiri dengan menerbitkan drama yang lebih segar dan moden.

“Selain moden dan segar, drama yang diterbitkan oleh produksi saya juga mesti mempunyai elemen memperkasakan wanita,” katanya.

Walaupun kini bergelar penerbit dengan membuka syarikat sendiri, bintang filem Desolasi itu mengakui bersedia untuk berlakon dengan produksi lain.

“Walaupun telah membuka rumah produksi sendiri, saya masih lagi terbuka untuk menerima tawaran berlakon daripada produksi lain.

“Saya masih sayangkan bidang lakonan,” jelasnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok