Anggota kumpulan Blackpink, Lisa telah meraih satu lagi pencapaian yang sukar ditandingi dan belum pernah dicapai mana-mana penyanyi K-pop setakat ini apabila cemerlang mendakap lapan Guinness World Records.
Kejayaanya tersebut sekali gus menjadikan Lisa penyanyi solo Asia pertama mempunyai rekod dunia terbanyak.
Diiktiraf pakar industri sebagai salah seorang penyanyi solo paling terkenal dalam dekad ini, Lisa telah mendominasi carta muzik utama, memperoleh kedudukan teratas dalam setiap platform seperti YouTube, Spotify dan iTunes dengan hanya dua lagu.
Tidak terhenti disitu, penyanyi asal Thailand itu juga terus memecahkan beberapa rekod peribadi termasuk meraih lebih sejuta pendengar unik di Melon menerusi lagu hitsnya Lalisa.
Pada September lalu, Lisa muncul sebagai artis muzik Asia paling berpengaruh di Amerika Syarikat dengan menduduki tempat keempat di belakang Selena Gomez, Taylor Swift, dan Justin Bieber. – HIB GLAM