Mackenyu meledak sebab Zoro, ramai ‘terliur’

MEMULAKAN karier lakonan seawal 2015 pada usia 19 tahun, Mackenyu Arata bukan calang-calang pelakon di Jepun apabila berjaya menembusi pasaran Hollywood.

Penglibatan dalam siri paling laris di dunia ketika ini, One Piece meledakkan namanya di pentas antarabangsa.

Kegilaan khalayak terhadap dirinya semakin menjalar dengan terjemahan sempurna karakter Roronoa Zoro dalam naskhah yang turut diterajui dua bintang handalan, Inaki Godoy sebagai Luffy dan Emily Rudd (Nami) itu.

Selain dilahirkan berwajah kacak dan bertubuh sasa, Mackenyu juga hadir bersama personaliti yang sangat unik.

Dalam kebanyakan video wawancara atau temu bual, dia seorang yang suka berlawak dan berseloroh dengan sesiapa pun. Namun satu hal yang pasti, dalam bicaranya, tetap terkandung jisim berat yang mampu dijadikan rujukan.

MACKENYU bangga melakonkan watak Zoro dalam One yang merupakan anime paling hebat dan epik di Jepun.

Mampu berkomunikasi dengan baik dalam dua bahasa iaitu Inggeris dan Jepun, realitinya, impian Mackenyu sama juga dengan misi Zoro dalam One Piece.

Cernaan watak Zoro dilihat sebagai seorang yang memiliki ambisi tinggi diangkat sebagai pemain pedang hebat dunia. Secara peribadi, dia juga ingin menjadi pelakon terbaik.

“Saya sangat berasa bangga kerana berjaya membawa watak Zoro. One Piece adalah anime atau manga yang paling hebat dan epik di Jepun.

“Ada banyak peminat One Piece di seluruh dunia. Saya tahu ramai peminat yang menulis tentang karakter Zoro saya jayakan dalam Internet namun saya tak baca semua.

“Sungguhpun begitu, saya sangat gembira dengan penerimaan peminat terhadap siri yang menjadi kegemaran dunia ini,” ujarnya dalam satu wawancara ringkas tayangan perdana siri terbabit.

MESKI digilai ramai, Mackenyu tanpa berselindung mengakui dirinya sudah berkahwin pada awal 2023 dengan wanita yang disifatkan paling cantik dan comel di matanya.

Ketika ramai wanita di luar sana ‘terliur’ dengan karisma, pesona dan ketampanan Mackenyu sebagai Zoro, dukacitanya dinyatakan di sini bahawa lelaki itu bukan berstatus solo.

Aktor kelahiran Los Angeles, California sudah berkahwin dengan seorang wanita bertuah awal tahun 2023 dan dia memilih seorang wanita yang bukan datang dari industri hiburan.

Bermakna, permaisuri hidupnya hidup jauh daripada ketaksuban dan gemerlapan glamor. Barangkali itu adalah pilihannya dalam mencapai keseimbangan hidup manusiawi.

“Saya tak pernah jumpa wanita secomel dan secantik dia (isteri saya).

“Saya terus ingin memperisterikannya sejurus selepas pertama kali kami bertemu,” katanya seperti dipetik portal Japan Reporter.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok