AKHIRNYA terjawab, penyanyi Bella Astillah mengumumkan majlis perkahwinannya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bakal berlangsung pada 10 Oktober depan.
Menurut pemilik nama lengkap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, tarikh berkenaan dipilih sebagai penanda bermulakan fasa baharu kehidupan mereka bersama.
“Pada malam ini saya dengan Bella Astillah ingin membuat pengumuman, moga mendapat restu dan dirahmati Allah SWT.
“Temakan warna putih, masa nikah di atas permintaan ibu dan ayah supaya disulami dengan tema Arab islamik sekali.
“Mungkin nak kahwin lagi awal, tapi ini paling awal kita buat persediaan. Bulan 10, bulan memulakan hidup baru bagi kita berdua termasuk Ayden dan Ara.
“Lagi istimewa adalah nikah pada 10 Oktober dan sanding di Kuala Lumpur, Muar dan Sabah pada bulan sama,” katanya dalam program MeleTOP, hari ini.
Lebih menarik, Saddiq turut memaklumkan mereka bakal mencipta kenangan manis di Menara Merdeka 118 sebagai lokasi majlis akad nikah.
Saya juga turut ucapkan terima kasih kepada Merdewka 118 kerana bagi nikah di tempat istimewa.
“Ini akan jadi yang pertama kali. Kami akan berada di tingkat 118 untuk proses nikah kami berdua,” ujarnya.
Terdahulu, Syed Saddiq sebelum ini memberi bayangan bakal menamatkan zaman bujang sebelum penghujung tahun ini selepas menerima restu daripada ibu bapanya.
Pasangan sama cantik sama padan itu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada September 2016.
Pasangan itu pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dan akhirnya berpisah kali kedua pada Mac 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden, 9, dan Ara, 6. –HIBGLAM
