‘Mahu berkenalan tetapi hantar gambar tidak senonoh!’

PENYANYI Zizi Kirana mendedahkan menerima banyak mesej tidak senonoh dalam media sosial sejak kembali berstatus solo selepas bercerai dengan bekas suami, Yusuf Bahrin.

Zizi atau nama penuhnya, Nur Fazelah Mad Tahil, 41, bagaimanapun berkata, situasi tersebut bukan perkara asing kerana dia pernah melalui situasi sama sebelum mendirikan rumah tangga.

“Sekarang rasa saya dah kembali ke zaman yang sebelum ini sebab kembali terima mesej peribadi (direct message atau DM) yang aneh-aneh.

Antara mesej saya terima seperti ada yang mahu berkenalan tetapi hantar pula gambar tidak senonoh.

“Cuma situasi begini pernah berlaku dulu dan sebab itu saya biarkan saja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bukan sahaja mesej tidak senonoh, dia turut menerima ‘lamaran’ daripada isteri orang yang mahu menjadikannya madu.

“Ada juga mesej ‘suami saya nak dengan awak, boleh ke Zizi?’. Rupa-rupanya nak bermadu.

Saya tak nak bermadu dan sekarang ini kepala otak memang tidak fikir nak cari jodoh atau sebagainya sebab mahu kembali fokus untuk kerjaya seni.

“Saya nak kembali hasilkan lagu dan berkongsi dengan semua orang yang pernah menyokong dari dulu sampai sekarang,” katanya lagi.

Menjawab sama ada hatinya sudah tertutup untuk kembali hidup berpasangan, dia hanya menyerahkan semua aturan kepada Allah SWT dan tidak berani untuk meletakkan sebarang noktah mengenai hal itu.

“Saya tak berani nak kata hati sudah tertutup habis sebab hati kita Allah yang pegang.

Setiap hari saya berdoa, “ya Allah, Kau yang memegang hati ini, Kau saja tahu hal terbaik untuk diri ini’.

“Bukan juga trauma tetapi cuma malas nak fikir. Benda yang lepas, biarkan berlalu dan jangan pandang balik,” ujarnya.

Dia bagaimanapun mengakui akan lebih cerewet sekiranya ditakdirkan mengenali mana-mana lelaki pada masa akan datang.

“Memanglah perlu sentiasa berhati-hati tetapi buat masa sekarang saya memang tak terfikir nak cari pasangan.

“Alhamdulillah, saya selesa menyendiri,” tuturnya yang bakal melancarkan sebuah lagu duet dengan penyanyi asal negara Asia Barat sekitar Oktober depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok